Kota Kinabalu: Tagih hutang RM3,000, punca utama kes pembunuhan membabitkan lelaki berusia 25 tahun di Jalan Kionsom Lama, pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata semasa hasil soal siasat dijalankan, suspek mendedahkan perkara sebenar dimana dia membunuh mangsa dengan mencekik lehernya sebelum menjerut mangsa sehingga mati.
“Punca adalah kerana suspek marah selepas mangsa menagih hutang sebanyak RM3,000,”
“Pada peringkat awal, suspek membawa mangsa beredar dari bengkel terbabit untuk berbincang ke lokasi bersesuaian bagaimanapun semasa dalam perjalanan berlaku pertengkaran antara mereka,” katanya.
Beliau berkata suspek kemudiannya mencekik leher mangsa sehingga mangsa tidak berdaya dan menjerut leher mangsa menggunakan kabel yang ada di dalam kenderaan suspek.
“Semasa pertengkaran itu mangsa bertindak menghantar lokasi kepada bapanya yang sedang menunggu di bengkel terbabit selepas menyedari keadaannya terancam.
“Suspek kini ditahan reman selama tiga hari dan polis percaya kes bunuh ini sudah diselesaikan dengan penahanan suspek berumur 43 tahun ini,” katanya.
Terdahulu, pada rabu lalu, seorang tukang cat kereta berusia 43 tahun ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian seorang lelaki di kawasan semak di Jalan Kionsom Lama, Inanam.
Pada masa yang sama, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.