KOTA KINABALU – Konsert Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat anjuran Sembang Kari Entertainment mencatat kejayaan apabila keseluruhan tiket habis terjual, dengan lebih 5,000 peminat membanjiri Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, bagi menikmati persembahan dua bintang pop Nusantara, Sal Priadi dan Raim Laode.
Berlangsung pada 2 Oktober 2026, konsert edisi ketiga Melodi Malam itu bukan sahaja berjaya menghimpunkan peminat muzik dari Sabah, malah membuktikan sambutan menggalakkan terhadap persembahan artis Nusantara di negeri ini.
Kehadiran lebih 5,000 penonton menjadikan SICC dipenuhi peminat yang hadir menikmati rangkaian lagu popular Sal Priadi dan Raim Laode dalam sebuah persembahan yang sarat dengan emosi, nostalgia dan interaksi bersama penonton.
Lebih menarik, sambutan terhadap konsert berkenaan turut menyaksikan terdapat peminat yang tidak berpeluang mendapatkan tiket selepas keseluruhan tiket dilaporkan habis terjual.
Pengarah Teknikal Sembang Kari Entertainment, Alif Rafiq, berkata sambutan luar biasa itu menjadi petunjuk bahawa komuniti pencinta muzik di Sabah mempunyai minat yang tinggi terhadap persembahan artis berkualiti dari Nusantara.
“Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat bukan sekadar sebuah konsert, tetapi menjadi ruang yang mempertemukan artis dan peminat dalam suasana yang dekat, santai dan bermakna.
“Kami amat berterima kasih kepada lebih 5,000 penonton yang hadir memberikan sokongan. Sambutan ini memberi makna besar kepada kami sebagai penganjur dan menjadi dorongan untuk terus membawa pengalaman muzik berkualiti ke Sabah,” katanya.
Menurut Alif, kejayaan edisi ketiga itu turut membuktikan bahawa Kota Kinabalu mempunyai potensi besar sebagai lokasi persembahan muzik yang mampu menarik peminat dari pelbagai latar belakang.
“Kami melihat sendiri bagaimana peminat memenuhi ruang SICC dan sama-sama menyanyikan lagu yang dipersembahkan. Ia adalah satu pengalaman yang sangat bermakna bukan sahaja kepada penonton, tetapi juga kepada artis dan seluruh pasukan yang terlibat.
“Kami juga menerima maklum balas daripada mereka yang tidak sempat mendapatkan tiket kerana konsert telah habis terjual. Perkara ini menunjukkan terdapat permintaan yang sangat baik dan kami akan mengambilnya sebagai salah satu pertimbangan untuk penganjuran akan datang,” katanya.
Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat merupakan edisi ketiga siri Melodi Malam yang dianjurkan Sembang Kari Entertainment, dengan matlamat membawa artis dan karya muzik Nusantara lebih dekat kepada peminat di Sabah.
Kejayaan penganjuran kali ini turut mengukuhkan usaha Sembang Kari Entertainment untuk menjadikan Melodi Malam sebagai sebuah platform muzik yang mampu menghubungkan artis serantau dengan komuniti pencinta muzik di Sabah.
Sembang Kari Entertainment merakamkan penghargaan kepada semua penonton, artis, rakan strategik, petugas dan pihak yang terlibat dalam menjayakan Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat.


