Membakut: Lebih 4,000 kontraktor di seluruh negara mendapat manfaat daripada 582 program latihan yang dilaksanakan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) sehingga September lalu bagi meningkatkan kompetensi kontraktor Bumiputera.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, program berkenaan memberi penekanan kepada latihan teknikal secara praktikal di tapak bagi memastikan kontraktor lebih berkemahiran, kompeten dan memahami tanggungjawab mereka kepada masyarakat.
Katanya, pendekatan itu membolehkan kontraktor, khususnya gred G1, mendapat pendedahan secara langsung mengenai pelaksanaan kerja di tapak, selain meningkatkan keupayaan mereka mengendalikan projek dengan lebih berkesan.
“Selain memberikan status Bumiputera di bawah KUSKOP, kita juga memberikan mereka latihan secara langsung di tapak itu sendiri.
“Melalui program ini, kita dapat mendekati kontraktor Bumiputera dan mereka juga lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus memahami tanggungjawab besar mereka dalam membantu menyelesaikan isu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas Program Jualan MADANI KUSKOP sempena lawatan kerjanya ke Binsulok, di sini.
Mohamad berkata, program latihan berkenaan akan diteruskan di lokasi lain bagi memastikan lebih ramai kontraktor Bumiputera mendapat manfaat daripada inisiatif itu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, KUSKOP turut membantu 3,003 syarikat mendapatkan status Bumiputera, termasuk lebih 1,300 kontraktor gred G1 dari Sabah.
Katanya, usaha itu akan diteruskan bagi memperkukuh penyertaan kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan, di samping meningkatkan keupayaan mereka untuk melaksanakan projek dan memenuhi keperluan masyarakat setempat.


