PETALING JAYA: Majoriti pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) nampaknya masih tidak mengalah dalam tuntutan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000.
Sebelumnya, KWSP mengumumkan keuntungan bagi suku ketiga 2021 lebih tinggi iaitu mencecah RM48.03 billion, menunjukkan peningkatan sebanyak 7.7 peratus hari ini, menyebabkan tuntutan tersebut mula memenuhi ruangan komen di media sosial.
Pengarah Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, berkata keuntungan itu sekaligus meningkat sebanyak RM3.42 billion berbanding tempoh sembilan bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Kadar pasaran saham turut menyumbang kepada 54 peratus pulangan pelaburan KWSP pada suku ketiga 2021”
“KWSP untung. Dia main saham. Saham pun untung dilabur KWSP. Lepas ini harap bolehlah bantu rakyat yang sedang susah pula. Jangan tamak. Benarkan pengeluaran i-Citra kali terakhir,” katanta dalam kenyataan hari ini.
Pengumuman yang dilakukan itu secara tidak langsung membuatkan ramai pencarum yang mendesak pihak KWSP untuk membenarkan pengeluaran sebanyak RM10,000 secara one off kerana keadaan yang sangat memerlukan ketika ini.
Jelas Isham, melihat keuntungan KWSP termasuk pelaburan saham, secara tak langsung ia sekaligus dapat membantu rakyat dalam pengeluaran i-Citra. – Kosmo