HomeEkonomiTeguran audit Pan Borneo perlu tindakan segera – Mustapha

Teguran audit Pan Borneo perlu tindakan segera – Mustapha

Kota Kinabalu: Teguran Ketua Audit Negara berhubung kelemahan pengurusan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah perlu diambil tindakan segera bagi memastikan kelemahan sama tidak berulang pada fasa projek akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, teguran berulang dalam Laporan Ketua Audit Negara perlu dijadikan pengajaran untuk mempertingkatkan keberkesanan pengurusan projek.

Katanya, kelemahan yang dibangkitkan menerusi audit bukan sahaja perlu diberi perhatian, malah tindakan susulan perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kerajaan berdepan tekanan akibat kelemahan pengurusan projek.

“Dengan teguran daripada Ketua Audit Negara ini, kita belajar sesuatu bahawa kita perlu belajar bagaimana pengurusan di negeri-negeri lain.

“Teguran audit tersebut perlu diambil tindakan segera. Sebab akhirnya yang mendapat tekanan adalah kerajaan sendiri sama ada kerajaan Pusat ataupun kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir Parlimen Sepanggar di Dewan Kampung Rampayan, Sepanggar.

Beliau mengulas persoalan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy berhubung kelewatan tindakan terhadap kelemahan yang dibangkitkan dalam Projek Pan Borneo Sabah walaupun teguran mengenainya telah berulang kali dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Mustapha turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan agensi berkaitan meningkatkan usaha bagi memastikan pengurusan projek lebih berkesan.

Katanya, dapatan dan teguran audit perlu dilaksanakan secara positif serta dijadikan panduan untuk memperbaiki pengurusan projek Pan Borneo bagi fasa seterusnya.

“Saya minta supaya pihak JKR, kontraktor dan agensi-agensi berkaitan mempertingkatkan usaha untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan projek ini.

“Ambil teguran audit ini dengan positif dan melaksanakan hasil-hasil dapatan ini dan kita jadikan pengajaran supaya projek-projek yang akan datang, sebab projek Pan Borneo ini ada beberapa fasa,” ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular