HomeSemasaSambutan luar biasa Karnival Bola Sepak Keningau, ‘Terima kasih YB Arthur, kami...

Sambutan luar biasa Karnival Bola Sepak Keningau, ‘Terima kasih YB Arthur, kami mahu lagi’

KENINGAU – Ada pengunjung datang untuk menyaksikan aksi legenda bola sepak, segelintir pula ingin menikmati aktiviti hiburan sekeluarga, namun semuanya berkongsi keterujaan sama di Karnival Bola Sepak Veteran Piala Presiden PBRS di Kompleks Sukan Keningau.

Mereka menyifatkan karnival dianjurkan atas inisiatif Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup itu sebagai acara santai bermanfaat kepada masyarakat luar bandar untuk beriadah bersama-sama.

Penduduk Sook, Asuin Solimen, 49, berkata, peluang menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan pasukan veteran Pensiangan dan bekas pemain Sabah yang pernah membanggakan negeri, menjadi kenangan berharga untuk dirinya sebagai penyokong setia.

“Saya gembira kerana karnival ini menyatukan masyarakat berbilang kaum. Harapan saya agar karnival ini diadakan setiap tahun dan aktivitinya ditambah, contohnya badminton atau sepak takraw,” katanya.

Puan Asuin Solimen dan Puan Amiliah Alik

Pekerja swasta dari Kampung Malaing Mukim Dalit, Sook, Amiliah Alik, 37, berkata, karnival itu memupuk semangat kesukanan dan memberi peluang kepada orang ramai beriadah dalam suasana positif.

“Bagi generasi muda pula, mereka dapat mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah dan mengelakkan diri daripada aktiviti yang tidak sihat. Saya harap karnival ini diteruskan dengan mengekalkan kemasukan percuma,” katanya.

Memberi pendapat sama, seorang pengunjung, Jai Omusil, 44, menyatakan, kehadiran pemain tempatan dan kebangsaan di karnival itu memberikan pengalaman bernilai kepada dirinya sebagai peminat bola sepak.

“Apa yang saya suka mengenai karnival ini ialah kita boleh berkumpul bersama keluarga untuk aktiviti. Ia menyeronokkan. Saya mahu karnival ini diadakan lagi,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Biah Skim 1, Sook, Rudy Tinsim berpendapat, pemilihan bola sepak sebagai aktiviti utama karnival itu sangat tepat kerana ia sukan popular di Sabah.

“Penganjur juga adakan banyak aktiviti lain seperti cabutan bertuah yang sudah tentu menyeronokkan. Bagi pendapat saya, karnival seumpama ini patut diteruskan dan ditambah aktiviti sukan kampung dan sukan untuk kanak-kanak. Ini akan menarik minat ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka menyertai sukan,” katanya.

Encik Jai Omusil dan Encik Rudy Tinsim

Berlangsung dua hari bermula 17 Oktober lalu, karnival itu menampilkan aksi ditunggu-tunggu pengunjung, iaitu Perlawanan Persahabatan Ex Sabah Legend yang menghimpunkan nama besar seperti Jaulius Ating, Hasan Sani, James Wong, Jackerison Kilan dan Matusin Bowie.

Ia turut menampilkan bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim bersama pemain pernah mengharumkan nama negara dalam sukan berkenaan, iaitu Safee Sali, Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha serta Bobby Gonzales, sekali gus memberi peluang kepada peminat mengimbau kehebatan mereka di padang.

Acara itu diserikan persembahan kumpulan popular Khalifah, selain cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah motosikal dan 30 barangan elektrik.

Seramai 300 pengunjung terawal menerima sehelai jersi istimewa disediakan penganjur setiap seorang.

Mengulas mengenai karnival itu, Safee menyifatkan ia acara yang sangat baik dan wajar diadakan secara kerap untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Saya sangat gembira melihat ramai peminat bola sepak yang datang ke stadium. Acara ini dapat membuka peluang kepada masyarakat luar bandar untuk bertemu legenda bola sepak.

“Di samping itu, anak-anak muda boleh terinspirasi untuk menceburi dan aktif dalam bermain bola sepak,” katanya.

Dato Sri Arthur Joseph Kurup (tengah) bersama pemain pasukan bola sepak tempatan dan bekas pemain kebangsaan

Pengerusi Penganjur Karnival, Wily Leong pula berkata, karnival itu mendapat sambutan luar biasa dan melangkaui jangkaan apabila hampir 3,000 pengunjung hadir memeriahkannya.

Katanya, karnival itu tidak hanya memberi manfaat kepada peminat bola sepak untuk menonton pemain legenda beraksi secara ‘depan mata’, malah
meningkatkan pendapatan usahawan tempatan yang meraih pulangan lumayan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang gigih menjayakan karnival itu, terutama Dato’ Sri Arthur dan pemain.

“Sambutan diterima luar biasa. Bola juga adalah sukan menyatukan kita semua tidak kira latar belakang dan umur, jadi saya harap karnival ini boleh dijadikan acara tahunan,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Sri Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook ketika ucapan perasmiannya berkata, karnival terbabit bukan sekadar platform pertandingan, sebaliknya medan penyatuan masyarakat, mencungkil bakat baharu serta membangunkan bola sepak tempatan.

Menurutnya, kehadiran barisan pemain profesional itu juga sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan besar mereka terhadap sukan bola sepak.

“Usia mungkin bertambah, tetapi semangat kesukanan tidak seharusnya luntur. Pemain veteran membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi juga mengenai kesihatan, persahabatan dan semangat yang terus hidup.”

“Kita berharap pengalaman mereka (bekas pemain) menjadi inspirasi kepada pemain tempatan untuk mengembangkan bakat,” kata Dato’ Sri Arthur.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular