KOTA KINABALU: Polis menumpaskan Geng Gurun yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah bernilai lebih setengah juta ringgit dengan penahanan empat lelaki termasuk ketua kumpulan itu.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, semua suspek berusia antara 32 hingga 64 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan sejak awal bulan ini, selepas mereka melakukan 19 kes pecah rumah mewah.
“Siasatan awal mendapati, ketua kumpulan berkenaan berusia 34 tahun pernah bertugas sebagai anggota tentera sebelum dibuang kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya dalam sidang media, kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan modus operandi kumpulan berkenaan ialah menyasarkan rumah mewah bagi mencuri pelbagai barangan berharga sekitar daerah ini, Penampang, Tuaran dan Kota Marudu.
“Barangan yang dicuri akan dijual di kedai pajak gadai, malah barangan curi juga dihantar kepada pembeli yang berada di Ampang, Selangor dengan menggunakan perkhidmatan kurier,” tambahnya.

Pihak polis turut merampas pelbagai barangan curi antaranya barang kemas, komputer riba, beg berjenama dan barangan berharga lain bernilai RM520,000.
Jumlah kerugian yang terlibat akibat kes pecah rumah oleh kumpulan penjenayah itu dianggarkan sebanyak RM700,000.
Walau bagaimanapun, pihaknya masih memburu enam lagi rakan jenayah kumpulan berkenaan dan meminta orang ramai menghubungi pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan.
Jelasnya, kesemua suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


