HomeJenayahHenti spekulasi, hormati proses rayuan mahkamah

Henti spekulasi, hormati proses rayuan mahkamah

KOTA KINABALU: Parti Warisan menghormati keputusan Mahkamah yang diputuskan hari ini dan menegaskan bahawa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan menggunakan hak beliau untuk mengemukakan rayuan mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Ketua Penerangan Warisan Pusat, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata parti itu sentiasa menghormati institusi kehakiman dan menyeru semua ahli serta penyokong Warisan agar kekal tenang, matang dan menghormati proses rayuan yang sedang berjalan.

“Parti Warisan mengambil maklum keputusan Mahkamah hari ini dan menghormati proses perundangan negara. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan menggunakan hak beliau untuk mengemukakan rayuan mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang.”

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses perundangan berjalan tanpa sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh disalah tafsir sebagai menghina mahkamah.

Menurut beliau, berdasarkan peruntukan undang-undang, hukuman penjara selama lima minggu dan denda RM300 yang diputuskan hari ini tidak menjejaskan kedudukan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, selain tidak menggugurkan kelayakan beliau untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Saya menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh disalah tafsir sebagai menghina proses mahkamah.”

Datuk Mohd Azis turut menegaskan bahawa Warisan akan terus mengikuti setiap proses perundangan dengan penuh tanggungjawab dan tertib, selaras dengan pendirian parti yang sentiasa menghormati institusi kehakiman negara.

Beliau turut mengajak seluruh ahli dan penyokong Warisan agar terus bertenang serta memberikan kepercayaan kepada proses rayuan yang akan dilalui mengikut lunas undang-undang. – Warisan Portal

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular