KOTA KINABALU: Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyambut baik pencapaian Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyaksikan sebanyak 291 projek pembangunan berjaya disiapkan di Sabah sepanjang tahun 2026.
Nizam berkata, pencapaian ini turut disusuli peningkatan ketara prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah daripada 52.07 peratus pada 10 Ogos kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober 2026, iaitu peningkatan sebanyak 19.71 mata peratusan dalam tempoh kurang tiga bulan.
“Perkembangan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan mencerminkan kemajuan pelaksanaan agenda pembangunan negeri melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta seluruh kementerian, jabatan dan agensi pelaksana yang terlibat,”
“Kejayaan menyiapkan 291 projek pembangunan ini juga memperlihatkan hasil daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan awam dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Katanya, antara projek yang berjaya disiapkan termasuk Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di Penampang, yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih baik untuk generasi muda Sabah.
Beliau juga ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Ketua Menteri atas kepimpinan dan perhatian berterusan beliau terhadap pelaksanaan agenda pembangunan Sabah.
Penekanan yang diberikan kepada kecekapan pelaksanaan projek, penyelarasan antara agensi serta penggunaan peruntukan secara optimum memperlihatkan hala tuju pentadbiran yang jelas dalam memastikan pembangunan negeri terus bergerak maju.
“Kita turut menyokong permintaan YAB Ketua Menteri dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah agar setiap kementerian dan agensi pelaksana mempergiat usaha serta menetapkan tindakan penyelesaian yang jelas bagi memastikan kelancaran projek pembangunan. Pendekatan ini amat penting dalam memperkukuh budaya kerja yang berorientasikan hasil, di samping memastikan setiap perancangan kerajaan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, Nizam menyambut baik peningkatan peruntukan kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027 sebanyak RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion pada tahun 2026.
Peningkatan sebanyak RM1.1 bilion ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan pembangunan Sabah serta hubungan kerjasama yang terus diperkukuh antara kedua-dua peringkat kerajaan. Keutamaan yang diberikan kepada projek strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, pengukuhan sistem bekalan elektrik melalui projek STATCOM di Sandakan serta Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang merupakan perkembangan yang amat dialu-alukan.
“Begitu juga peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah-sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, yang akan membantu meningkatkan mutu kemudahan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat”
“Saya melihat perkembangan ini sebagai satu momentum penting dalam usaha merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0. Dengan hala tuju pembangunan yang tersusun serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kita yakin pelaksanaan projek pembangunan dapat terus diperkasakan bagi merancakkan kegiatan ekonomi, memperluas kemudahan infrastruktur dan meningkatkan kualiti hidup rakyat di seluruh Sabah,” katanya.
Jelas beliau lagi, sebagai sebuah parti yang mendukung kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, akan terus memberikan sokongan terhadap usaha memperkukuh agenda pembangunan negeri.
“Kita mahu momentum positif ini diteruskan melalui pelaksanaan dasar dan program pembangunan yang memberikan manfaat secara menyeluruh kepada rakyat, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam, kementerian, jabatan dan agensi pelaksana di peringkat negeri serta Persekutuan yang telah memainkan peranan dalam menjayakan pelaksanaan projek-projek berkenaan.
“Pencapaian ini merupakan hasil usaha bersama yang wajar dihargai dan dijadikan dorongan untuk terus meningkatkan prestasi pembangunan Sabah pada masa hadapan”
“Saya menaruh keyakinan bahawa dengan kepimpinan YAB Ketua Menteri, komitmen seluruh jentera pentadbiran dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, agenda pembangunan Sabah akan terus dipacu dengan lebih berkesan, inklusif dan mampan demi kemakmuran negeri serta kesejahteraan seluruh rakyat Sabah,” katanya.


