HomePolitikMA63: Perlukan kerjasama strategik bersama, bukan politik perpecahan

MA63: Perlukan kerjasama strategik bersama, bukan politik perpecahan

KOTA KINABALU: Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah mengambil maklum kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, berhubung peranan parti politik nasional serta kedudukan dan kuasa tawar-menawar Sabah dalam landskap politik negara.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Samasuddin Yusop, menegaskan bahawa perjuangan menuntut kesetaraan serta merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak seharusnya dijadikan asas untuk mewujudkan pemisahan antara parti politik tempatan dengan parti nasional.

Sebaliknya, perjuangan tersebut merupakan tanggungjawab bersama yang menuntut persefahaman, kematangan politik dan kerjasama strategik antara semua pihak demi memastikan hak serta kepentingan Sabah terus dipelihara dan diperkukuh.

Menurut beliau, perkembangan positif dalam pelaksanaan tuntutan MA63 selama ini membuktikan bahawa pendekatan rundingan dan kesepakatan politik mampu menghasilkan pencapaian yang bermakna kepada Sabah. Antaranya termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2021 yang memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam kerangka pembentukan Malaysia, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas dan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah, peluasan peranan agensi teknikal negeri dalam pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan.

Semakan serta peningkatan kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, selain kesinambungan pembangunan infrastruktur strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Kesemua perkembangan ini mencerminkan kepentingan hubungan kerja yang erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri serta komitmen pelbagai pihak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.

UMNO Sabah berpandangan bahawa kekuatan sebenar dalam memperjuangkan hak Sabah bukan terletak pada asal usul atau latar belakang sesebuah parti politik, sebaliknya bergantung pada keikhlasan, ketegasan pendirian, keupayaan berunding dan keberkesanan tindakan dalam menterjemahkan tuntutan rakyat kepada dasar serta pelaksanaan yang nyata.

Justeru, pendekatan politik yang bersifat konfrontasi, pengasingan atau penolakan terhadap kerjasama strategik hanya berpotensi melemahkan kesepakatan dan merugikan kepentingan Sabah dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, UMNO Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak, termasuk parti-parti tempatan dan rakan strategik di peringkat nasional, bagi memastikan setiap hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta semangat MA63 terus dipertahankan dan direalisasikan secara menyeluruh.

Perjuangan mempertahankan hak Sabah harus berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri, bukannya dibatasi oleh sentimen kepartian atau perbezaan latar belakang politik. Hak Sabah ialah tanggungjawab bersama, dan hanya melalui kesepakatan, kebijaksanaan serta kerjasama strategik yang berterusan, aspirasi MA63 dapat diterjemahkan kepada kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular