HomeSemasaAgenda pembangunan Sabah terus diperkukuh melalui SMJ 2.0

Agenda pembangunan Sabah terus diperkukuh melalui SMJ 2.0

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata  Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan melalui Hala Tuju  Sabah Maju Jaya 2.0 sebagai kesinambungan usaha membina sebuah negeri yang  lebih maju, berdaya saing dan sejahtera

Beliau berkata ini selaras dengan aspirasi yang terkandung dalam tema Hari  Kebangsaan tahun ini iaitu “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.”

“Hala tuju ini memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang mampan,  pemerkasaan modal insan, peningkatan produktiviti, pengukuhan daya saing,  penerapan inovasi dan teknologi serta pembangunan yang inklusif agar manfaatnya  dapat dirasai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya pada majlis pelancaran Bulan  Kebangsaan Sabah dan Kempen Kibar Bendera di Menara Kinabalu hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan Datuk  Seri Panglima Masidi Manjun.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif  yang menyentuh kehidupan rakyat, termasuk dalam aspek pendidikan, kebajikan,  perumahan, kesihatan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan belia serta  penyediaan kemudahan asas yang lebih berkualiti.

“Saya yakin bahawa dengan semangat kebersamaan, tadbir urus yang berintegriti,  kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta sokongan padu  seluruh rakyat, kita mampu membawa Sabah melangkah lebih jauh sebagai sebuah negeri yang lebih maju dan sejahtera.

“Kerana pada akhirnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukanlah pada  apa yang berjaya dibina, tetapi pada sejauh mana rakyat menikmati hasil pembangunan  tersebut,” katanya.

Hajiji berkata pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera  pada hari ini bukan sekadar satu acara, tetapi ianya harus diraikan dengan semangat  patriotisme yang membara.

“Marilah kita bersama-sama menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan  bukan hanya sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada belenggu  kemiskinan dan perpecahan. Kemerdekaan adalah anugerah yang perlu kita hargai dan  pertahankan,” katanya.

Hajiji turut berkata dalam era digital ini rakyat mempunyai ruang yang lebih luas untuk  menyuarakan pandangan dan mengikuti perkembangan pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri menghargai setiap pandangan dan teguran sebagai tanda  keprihatinan rakyat terhadap masa depan Sabah.

“Namun, setiap pandangan hendaklah disampaikan secara bertanggungjawab,  berlandaskan fakta yang sahih serta dengan niat untuk membina, bukannya  memecahbelahkan.

“Manfaatkanlah kemudahan teknologi dengan bijaksana untuk menyebarkan maklumat  yang tepat, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri meminta semua untuk mengibarkan bendera  kebangsaan di setiap sudut negeri ini dengan penuh semangat.

“Semoga seluruh rakyat akan terus bersatu padu, bekerjasama, dan saling membantu  antara satu sama lain, demi masa depan Sabah yang lebih cemerlang.

“Marilah kita menjadikan sambutan pada tahun ini sebagai titik tolak untuk  memperbaharui iltizam dalam membina sebuah Sabah yang lebih maju dan sejahtera,”  katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular