HomePolitikTindakan undang-undang wajar diambil, pengajaran politik 3R - KEADILAN Sabah

Tindakan undang-undang wajar diambil, pengajaran politik 3R – KEADILAN Sabah

KOTA KINABALU: Peto Galim, mengecam sekeras-kerasnya ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab) dengan cara yang tidak wajar.

Datuk Peto Galim, Timbalan Pengerusi MPN Keadilan Sabah berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja kurang ajar dan miskin adab, malah langsung tidak sensitif terhadap masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.

“Ia tidak mencerminkan kematangan yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia,” jelasnya lagi.

Peto berkata, insiden ini juga merupakan contoh jelas bagaimana kesombongan (arrogance) individu apabila dicampur dengan politik perkauman dan agama yang keterlaluan, akhirnya menyebabkan seseorang hilang rasa hormat terhadap penganut agama lain.

“Jangan apabila masyarakat sudah marah dan mengecam, barulah masing-masing mahu memberi penjelasan, atau memohon maaf”

“Bukan sudah terhantuk baru tengadah. Ingat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya.

Jelas Peto, agama bukan bahan jenaka politik. Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang dibina selama ini tidak boleh diperjudikan hanya kerana mahu mendapatkan sorakan atau laba politik sementara.

“Sehubungan itu, KEADILAN Sabah akan membuat laporan polis berhubung insiden ini dan menggesa pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan. Tindakan selaras peruntukan undang-undang wajar diambil agar insiden sebegini tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular