KENINGAU: UMNO Sabah mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh jurucakap UMNO Bahagian Sepang semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata kenyataan tersebut merupakan pandangan yang dikemukakan oleh pihak berkenaan dan tidak mencerminkan pendirian rasmi serta suara UMNO Sabah.
UMNO Sabah berpegang teguh kepada prinsip bahawa perkara yang menyentuh agama tidak sewajarnya dijadikan bahan gurauan, sindiran mahupun digunakan untuk kepentingan politik.
“Sensitiviti berkaitan agama hendaklah sentiasa dihormati dan dipelihara oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan, fahaman atau latar belakang politik”
“UMNO Sabah sentiasa menghormati kepelbagaian agama, kaum, budaya dan kepercayaan yang menjadi asas keharmonian masyarakat di negeri Sabah,” jelasnya lagi.
Nik Nadzri berkata kepelbagaian ini merupakan kekuatan dan aset penting negeri yang telah sekian lama membentuk kehidupan masyarakat Sabah dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati.
“UMNO Sabah berpandangan bahawa kesediaan untuk mengakui kekhilafan serta memohon maaf merupakan cerminan kematangan, kebertanggungjawaban dan integriti dalam kepimpinan”
“Dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat, keharmonian masyarakat serta perpaduan hendaklah sentiasa mengatasi kepentingan peribadi dan politik,” katanya.
Nik yang juga Ketua UMNO Keningau menyeru semua pihak, khususnya para pemimpin dan ahli parti, agar sentiasa berhati-hati serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, terutama yang melibatkan sensitiviti agama, kaum dan budaya.
“Setiap tindakan dan kenyataan hendaklah mengambil kira kesannya terhadap keharmonian masyarakat serta hubungan antara rakyat yang berbilang latar belakang”
“UMNO Sabah kekal teguh dan komited dalam memelihara hubungan baik antara kaum dan agama di negeri ini,” tambahnya.
Jelas Nik, UMNO Sabah akan terus memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan, menyuburkan semangat saling menghormati serta mempertahankan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan rakyat Sabah, demi memastikan negeri ini terus aman, stabil dan makmur.


