KOTA KINABALU: Perbahasan Ketua UMNO Bahagian Sepang di Persidangan Agung UMNO adalah tidak wajar, tegas Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.
Terdahulu, Arthur telah meneliti ucapan, Datuk Noorazli Said yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab).
“Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa ucapan tersebut amat tidak wajar, keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik”
“Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atautepukan orang ramai,” tegasnya lagi.
Ketua BN Sabah itu berkata, Malaysia telah dibina atas asas masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Selepas lebih enam dekad kita hidup sebagai sebuah negara, amat mengecewakan apabila masih ada pemimpin yang memilih untuk menjadikan agama sebagai bahan jenaka politik.
Beliau berkata lagi, Politik ada batas, kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab danagama bukan bahan permainan.
“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin politik bahawa isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) bukan perkara yang boleh disentuh sesuka hati. Negara ini mempunyai Perlembagaan dan undang-undang yang perlu dihormati bagi menjaga ketenteraman awam, keharmonian serta hubungan antara masyarakat”
“Barisan Nasional ialah sebuah gabungan yang berdiri atas prinsip perpaduan, kestabilan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum serta agama. Kita tidak boleh bercakap mengenai perpaduan pada satu ketika, tetapi pada ketika yang lain membiarkan agama orang lain dijadikan bahan jenaka politik,” katanya.
Tambahnya, prinsip ini mesti kita pegang secara konsisten, bukan hanya apabila ia menguntungkan kita.
“Kita boleh berbeza pandangan politik, mengkritik dasar dan berdebat dengan tegas. Namun apabila agama dan kepercayaan orang lain dijadikan bahan gurauan, kita telah melangkaui batas kewajaran dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin”
“Alasan bahawa ia sekadar “gurauan” tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menutup kesan dan sensitiviti yang ditimbulkan,” katanya.
Arthur mendesak Datuk Noorazli Said supaya memohon maaf secara terbuka dan tanpa sebarang alasan atau berselindung, khususnya kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Kristian yang sudah tersinggung dan terluka dengan ucapan tersebut.
“Saya menyeru semua pemimpin politik, tanpa mengira ideologi parti, supaya lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja. Rakyat tidak memerlukan politik yang membakar sentimen, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang menyatukanmasyarakat,” katanya.


