KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri serta merampas dadah jenis ketamin seberat 20.7 kilogram dalam satu operasi khas minggu lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan bermula 4 September di sebuah premis perniagaan di Taman Sri Kepayan hasil risikan dan maklumat awam.
“Polis menemukan dua karung hijau berisi 20 bungkus plastik tertulis Tie Guan Yin yang mengandungi ketamin bernilai lebih RM1.03 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Beliau berkata, operasi susulan sehari kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki di kawasan Kepayan, sebelum sepasang suami isteri diberkas di IPK Sabah pada malam yang sama.

Katanya, suspek yang ditahan adalah pengurus syarikat kurier lelaki berusia 36 tahun, kerani operasi syarikat kurier lelaki 58 tahun, pemilik syarikat kurier lelaki 47 tahun dan isterinya berusia 46 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai menggunakan khidmat kargo udara dari Semenanjung untuk membawa masuk bekalan dadah ke Sabah.
Ujarnya, selain rampasan dadah, polis turut menyita aset mewah dipercayai hasil kegiatan sindiket itu termasuk sebuah Lamborghini Aventador, Mercedes Benz, Toyota Alphard, Chevrolet Colorado, televisyen 60 inci, peralatan audio, beg tangan berjenama serta wang tunai.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM4.21 juta.
“Seorang suspek dikesan positif dadah jenis Meth/AMP manakala seorang lagi memiliki rekod jenayah lampau.
“Rampasan ini mampu menampung sehingga 160,000 penagihan sekali guna,” jelasnya.
Beliau menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. — DEMI SABAH


