KOTA KINABALU : Pasukan bola sepak Sabah FC berjaya meledak gawang gol Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas dalam aksi Liga Super semalam.
Dalam perlawanan itu, pemain berpengalaman Sabah FC yang berusia 41 tahun, Amri Yahyah berjaya meledak sebanyak 3 kali gol hatrik sekali gus membantu pasukannya menang besar 4-0 ke atas KDA FC.
Pada separuh masa pertama perlawanan, Sabah FC tidak dapat menjaringkan sebarang gol namun banyak melakukan percubaan demi percubaan.
Bagaimanapun, masuk ke separuh masa kedua perlawanan, Sabah FC bangkit apabila Amri membuka tirai jaringan pada minit ke-51 bagi menjadikan kedudukan 1-0.
Seterusnya pada minit ke-56 pula, pemain import Sabah FC daripada Korea Selatan, Park Taesu berjaya menjaring satu gol menjadikan kedudukan 2-0.
Asakan demi asakan dihadapi oleh kedua-dua pasukan. Percubaan diteruskan sehingga Amri berjaya menyumbat dua lagi gol iaitu pada minit ke-61 dan ke-71, seterusnya melengkapkan hatrik beliau dalam perlawanan semalam.
Susulan kemenangan bergaya itu, Sabah FC kini berjaya mengumpul 12 mata daripada enam perlawanan hasil daripada empat kemenangan dan tewas sebanyak dua kali.