HomeSemasaKM yakin Sabah mampu raih 40 emas pada SUKMA Selangor

KM yakin Sabah mampu raih 40 emas pada SUKMA Selangor

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin Sabah  mampu mencapai sasaran 40 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA)  Ke-22 di Selangor hasil persediaan rapi atlet, jurulatih dan pengurusan pasukan, sambil  menggesa seluruh kontinjen berjuang habis-habisan mempertahankan maruah serta  nama baik negeri di pentas sukan kebangsaan.

Beliau berkata, sasaran itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan  kerajaan negeri terhadap persediaan atlet, kepakaran jurulatih, pengurusan pasukan  serta sistem pembangunan sukan yang dilaksanakan secara berterusan.

“Saya mahu setiap atlet percaya bahawa sasaran ini mampu dicapai. Kita mempunyai  bakat, pengalaman dan semangat yang diperlukan. Yang penting, kita turun bertanding  dengan keberanian, fokus dan tekad untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah  sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026 dan Para SUKMA  Selangor 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, pencapaian kontinjen Sabah pada SUKMA Sarawak 2024 yang meraih  29 pingat emas, 36 pingat perak dan 55 pingat gangsa menjadi asas penting untuk  meningkatkan prestasi pada temasya kali ini.

Bagi Para SUKMA Selangor 2026 pula, katanya, Sabah menyasarkan 66 pingat emas  dan bertekad kembali muncul juara keseluruhan.

Menurutnya, kontinjen SUKMA Sabah kali ini membabitkan 943 anggota yang terdiri  daripada 744 atlet, 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan, selain akan mengambil  bahagian dalam 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

“Bagi Para SUKMA pula, Sabah akan menghantar kontinjen seramai 271 orang, terdiri  daripada 154 atlet, 80 jurulatih dan pegawai serta 37 anggota urus setia. Saya menaruh  harapan agar sekurang-kurangnya 80 peratus atlet Para SUKMA berjaya membawa  pulang pingat”, katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua atlet supaya berjuang sepenuh tenaga dengan  semangat kesukanan yang tinggi bagi mengharumkan nama Sabah sepanjang temasya  berlangsung.

Pada masa sama, Hajiji menegaskan disiplin mesti menjadi kekuatan utama setiap atlet  kerana bakat tanpa disiplin tidak akan membawa seseorang atlet ke tahap tertinggi.

Beliau turut mengingatkan supaya setiap isu dalam kontinjen ditangani dengan segera,  adil dan profesional agar fokus pasukan tidak terganggu, selain meminta atlet menjaga  komunikasi dan tingkah laku sepanjang berada di Selangor.

Beliau juga menasihatkan atlet supaya tidak mengambil sebarang makanan tambahan  atau suplemen tanpa nasihat jurulatih, pegawai perubatan atau pakar bertauliah kerana  penggunaan bahan terlarang boleh menjejaskan kelayakan bertanding, membatalkan  keputusan pertandingan serta merosakkan kerjaya yang dibina.

Selain itu, Ketua Menteri juga meminta semua pegawai mengutamakan aspek  keselamatan dan kebajikan atlet dengan memastikan urusan perjalanan, penginapan,  rawatan, pemulihan serta keperluan pertandingan diurus dengan teliti, di samping terus  memperkukuhkan semangat setia kawan dalam kalangan anggota kontinjen.

Bagi menghargai pengorbanan atlet, jurulatih dan keluarga sepanjang tempoh  persediaan, Hajiji berkata kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan  yang dinaikkan pada SUKMA Sarawak 2024, termasuk insentif pingat emas yang  dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 sebagai tanda penghargaan kepada  atlet negeri.

Beliau turut menyeru seluruh kontinjen Sabah melangkah ke Selangor dengan satu hati,  satu semangat dan satu matlamat untuk berjuang habis-habisan, memburu setiap  peluang kemenangan serta membuktikan Sabah mampu berdiri sebaris dengan negeri negeri terbaik dalam arena sukan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular