HomeSemasaPeniaga kecil di kawasan Sulaman bakal terima bantuan tunai RM3,000

Peniaga kecil di kawasan Sulaman bakal terima bantuan tunai RM3,000

TUARAN: Peniaga-peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di tepi jalan di kawasan  Sulaman akan diberi bantuan tunai RM3,000 setiap seorang, kata Ketua Menteri Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sulaman berkata beliau telah  mengarahkan pegawai daerah Tuaran untuk menyenaraikan peniaga-peniaga kecil di  Sulaman supaya bantuan tunai itu dapat diagihkan.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya telah berjanji dan saya berharap saya akan  mendapat senarai tersebut dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya pada majlis  perasmian Karnival Usahawan dan STEM X Challenge sempena pertandingan akhir  Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik di sini  malam ini.

Hajiji berkata beliau faham akan keperluan peniaga-peniaga kecil yang amat  memerlukan bantuan sedemikian.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Karnival Usahawan dan STEM X Challenge  ini amat signifikan kerana ia dapat membantu usahawan-usahawan kecil dalam  perniagaan mereka.

“Ianya memberi semangat dan peluang kepada para usahawan kecil terutama golongan  muda untuk meneruskan aktiviti harian.

“Bukan semua kita boleh bekerja sebagai pegawai kerajaan tetapi kita boleh  menceburkan diri dalam perniagaan dan menjadi seorang usahawan.

“Jika kita berjaya menjadi seorang usahawan maka ianya boleh mendatangkan  pendapatan yang lebih baik lagi. Yang penting kita mesti rajin dan jangan malu,”  katanya.

Ketua Menteri berkata Kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan untuk usahawan  terutama usahawan muda agar mereka dapat bergerak maju.

Mengenai STEM X Challenge, beliau berkata bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan  Matematik (STEM) amat penting di zaman yang serba moden ini.

“Amat penting untuk anak-anak kita menguasai STEM kerana ianya amat diperlukan  untuk mencapai kejayaan dan tentunya dalam pembangunan negara dan masyarakat,”  katanya.

Penganjuran program malam ini yang mengambil inspirasi sempena World Cup 2026  turut membawa mesej bahawa semangat kesukanan boleh diterjemahkan dalam bidang  pendidikan dan inovasi, katanya.

“Sebagaimana sukan menuntut disiplin, strategi, kerjasama dan semangat juang yang  tinggi, begitu jugalah bidang STEM dan keusahawanan memerlukan sifat yang sama  untuk mencapai kejayaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular