HomeEkonomiJOM MALAYSIA pacu produk Sabah ke pasaran global

JOM MALAYSIA pacu produk Sabah ke pasaran global

SANDAKAN: Gerakan Nasional Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) diyakini mampu  menjadi pemangkin kepada usaha mengangkat produk dan jenama keluaran Sabah ke persada  antarabangsa, selaras dengan aspirasi “local to global” yang menjadi antara fokus Halatuju  Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata aspirasi yang dibawa menerusi  JOM MALAYSIA amat bertepatan dengan agenda pembangunan ekonomi negeri yang  menekankan pertumbuhan mampan, inklusif dan berdaya saing melalui pemerkasaan  usahawan tempatan serta peluasan akses pasaran.

Beliau berkata, JOM MALAYSIA bukan sekadar festival jualan atau platform promosi produk  tempatan, sebaliknya satu gerakan strategik yang menghubungkan usahawan, kerajaan,  pemain industri, institusi kewangan dan pengguna dalam membina ekosistem keusahawanan  yang lebih kukuh.

“SMJ 2.0 dan JOM MALAYSIA berkongsi matlamat yang sama iaitu memperkasa usahawan  tempatan, meningkatkan nilai tambah produk dan perkhidmatan serta memperluaskan akses  pasaran demi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

“Sinergi ini akan membina rantaian pembangunan yang lengkap, bermula daripada  pemerkasaan usahawan, pembangunan produk sehingga kepada peluasan pasaran, selaras  dengan aspirasi “local to global”,” katanya ketika merasmikan Festival JOM MALAYSIA 2026 di  Kompleks Sukan Sandakan, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri  Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Ewon Benedick.

Hajiji berkata, pemilihan Sabah sebagai antara lokasi penganjuran festival berkenaan  merupakan pengiktirafan terhadap kekuatan ekonomi negeri serta keyakinan Kerajaan  Persekutuan terhadap potensi Sabah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi di Malaysia  Timur.

Beliau berkata, Sabah bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian budaya, warisan dan hasil  bumi, malah memiliki komuniti usahawan yang semakin berkembang dengan pelbagai produk  beridentiti tempatan yang mempunyai nilai komersial tinggi, termasuk makanan, kraftangan,  fesyen serta produk kreatif dan inovasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurutnya, dengan jumlah penduduk dianggarkan seramai 3.8 juta orang pada tahun lalu serta  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM88.8 bilion yang mencatat pertumbuhan  5.1 peratus, Sabah kini muncul sebagai antara pasaran pengguna terbesar dan paling dinamik  di Malaysia Timur.

Mengulas potensi produk Sabah di pasaran antarabangsa, Hajiji berkata pencapaian yang  direkodkan usahawan tempatan sepanjang tahun lalu membuktikan kemampuan produk negeri  ini untuk bersaing di peringkat global.

Beliau berkata, seramai 124 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah menyertai 18  ekspo perdagangan antarabangsa pada 2025 dan berjaya merekodkan potensi jualan bernilai  RM95.9 juta, meningkat 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa produk keluaran Sabah mempunyai kualiti, keunikan dan  daya saing untuk menembusi pasaran global. Sebab itu JOM MALAYSIA perlu dilihat sebagai  platform yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang dan mengembangkan pasaran mereka,” katanya.

Bagi memperkukuh lagi ekosistem keusahawanan negeri, beliau berkata kerajaan Sabah  melalui SMJ 2.0 melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Program Bantuan SME-UP yang  diterajui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dengan peruntukan  RM15 juta bagi membangunkan 600 PMKS.

Selain itu, Program Sabah Ready-to-Eat (RTE) turut diperkenalkan bagi membantu  mengkomersialkan produk makanan tempatan menerusi penyediaan geran pembangunan,  bantuan mesin retort dan sokongan pensijilan halal untuk meningkatkan kebolehpasaran  produk.

Menurut Hajiji, kedua-dua inisiatif berkenaan saling melengkapi dengan aspirasi JOM  MALAYSIA dalam membangunkan usahawan yang berdaya saing serta produk yang bersedia  untuk dipasarkan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor pelancongan turut memainkan peranan penting dalam  merealisasikan aspirasi local to global, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026  dan Visit Sabah Year 2027.

Katanya, Sabah merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat dengan hasil pelancongan berjumlah  RM8.74 bilion pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan potensi besar sektor itu sebagai  pemangkin kepada promosi produk dan perkhidmatan tempatan.

“Setiap festival, ekspo dan program promosi bukan sekadar menggalakkan pembelian produk  tempatan, malah menjadi ruang untuk memperkenalkan identiti Sabah kepada pelancong dari  dalam dan luar negara.

“Apabila pelancong menikmati makanan tempatan, membeli kraftangan, menggunakan  perkhidmatan atau membawa pulang produk keluaran Sabah, mereka sebenarnya menjadi duta  yang memperkenalkan jenama Sabah ke persada antarabangsa. Inilah aspirasi sebenar “local  to global” yang ingin kita capai bersama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos  Sara Hidup (KPDN) bersama kerajaan negeri mempertimbangkan penganjuran JOM  MALAYSIA di lebih banyak destinasi strategik di Sabah sempena Visit Sabah Year 2027 bagi  memperluaskan capaian program kepada usahawan tempatan serta memperkukuh promosi  produk Sabah kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular