HomeSemasaKetua Menteri arah pemantauan rapi situasi banjir di Tawau

Ketua Menteri arah pemantauan rapi situasi banjir di Tawau

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Pusat  Kawalan Bencana Negeri supaya memantau dengan rapi situasi banjir di Tawau yang  diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan banjir yang melanda banyak kawasan di  daerah itu sejak Jumaat (24 Julai).

“Semua agensi berkaitan telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas. Saya mahu  mereka bersiap siaga untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir,”  katanya.

Ketua Menteri turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa  berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila diperlukan.

Beliau berkata, setakat ini keadaan masih terkawal dengan semua agensi berkaitan telah  berada di lapangan bagi memberikan bantuan kepada mangsa.

Jawatankuasa Bencana Alam Tawau mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana  pada jam 8.30 pagi hari ini selepas beberapa kawasan perumahan di Tanjung Batu Keramat,  Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Taman Sunshu dan Taman Sri Balung dinaiki air berikutan  hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Jawatankuasa itu juga sedang mengumpulkan maklumat mengenai jumlah mangsa yang  terjejas bagi tujuan pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS), jika perlu.

Sehingga jam 11 pagi hari ini, sebuah PPS telah dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan  Tawau yang menempatkan 96 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan 335 mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular