HomeSemasa“Saya hanya mahu berkhidmat” graduan OKU Sabah berakhir dengan penempatan di KKM

“Saya hanya mahu berkhidmat” graduan OKU Sabah berakhir dengan penempatan di KKM

KUALA LUMPUR: Seorang graduan farmasi dari Sabah yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) akhirnya berjaya memulakan kerjaya sebagai Pegawai Farmasi selepas melalui penangguhan penempatan yang mencetuskan kebimbangan terhadap masa depannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kisah perjuangan graduan berkenaan, Sophie, yang disifatkan sebagai contoh kegigihan seorang anak muda dalam mengejar cita-cita meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Menurut Mustapha, Sophie memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi di Sydney, Australia dengan bantuan biasiswa.

Katanya, selepas menamatkan pengajian selama lima tahun, Sophie pulang ke tanah air dan menerima tawaran penempatan sebagai Latihan Siswazah Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 11 Mei lalu.

Bagaimanapun, beberapa hari sebelum melapor diri, penempatannya ditangguhkan sementara bagi membolehkan penilaian semula dibuat terhadap status Orang Kurang Upaya (OKU) yang dimilikinya.

“Walaupun berdepan situasi yang sukar, Sophie tidak pernah berputus asa. Beliau telah membuktikan kemampuannya belajar di luar negara, memandu kenderaan, berkomunikasi dengan baik dan bersedia menjalankan tugas sebagai pegawai farmasi,” katanya.

Mustapha berkata, selepas menerima aduan daripada Sophie dan keluarganya, beliau membawa sendiri surat berkaitan penempatan graduan itu ke Putrajaya bagi memohon supaya keputusan dapat dipercepatkan.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Sophie akhirnya menerima surat pengesahan penempatan sebelum memulakan latihan di Kuala Lumpur pada 13 Julai.

Beliau kini bertugas secara rasmi sebagai Pegawai Farmasi di sebuah hospital di Sabah bermula 20 Julai dengan tawaran gaji sekitar RM3,500 sebulan.

Menurut Mustapha, kejayaan itu membuktikan setiap individu, termasuk golongan OKU, berhak diberikan peluang yang adil untuk membuktikan kemampuan mereka tanpa dipengaruhi kekurangan fizikal.

Katanya, kisah Sophie diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus berusaha mencapai impian walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular