HomeEkonomiRM90 juta bantuan kewangan kepada Sekolah Persendirian Cina, Mubaligh dan Badan Keagamaan...

RM90 juta bantuan kewangan kepada Sekolah Persendirian Cina, Mubaligh dan Badan Keagamaan Bukan Islam Sabah

SANDAKAN: Program bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina, sekolah  mubaligh dan badan-badan keagamaan bukan Islam di Sabah telah meningkat lebih 100  peratus daripada RM43 juta pada tahun 2020 kepada RM90 juta tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata sejak Kerajaan Gabungan  Rakyat Sabah (GRS) diberi mandat mentadbir negeri ini pada tahun 2020, bantuan kewangan  tahunan kepada sekolah-sekolah Cina, mubaligh dan badan-badan keagamaan bukan Islam  terus dipertingkatkan secara konsisten.

Jumlah bantuan kewangan ini meningkat daripada RM43 juta pada tahun 2020 dan 2021  kepada RM47 juta pada tahun 2022 dan RM54.05 juta pada tahun 2023. Jumlah bantuan terus  meningkat kepada RM56.75 juta pada tahun 2024 dan RM70 juta pada tahun 2025.

“Pada tahun ini, kerajaan mengambil langkah untuk menaikkan jumlah keseluruhan bantuan  kepada RM90 juta,” katanya pada majlis penyerahan bantuan kewangan kepada sekolah sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam tahun 2026 bagi Zon Pantai Timur Sandakan  di Dewan SJKC Chi Hwa di sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup  Malaysia, Datuk Armizan Mohd Ali.

Hajiji berkata peningkatan bantuan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus  membantu institusi pendidikan dan keagamaan yang memainkan peranan penting dalam  pembangunan modal insan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Sabah.

“Adalah diharapkan sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak aktiviti sekolah-sekolah  dan badan-badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah,” tambahnya.

Beliau berkata, peningkatan yang berterusan sejak tahun 2020, membuktikan bahawa apabila  ekonomi negeri semakin kukuh dan kedudukan kewangan kerajaan semakin stabil, manfaatnya  akan dikembalikan kepada rakyat.

“Inilah komitmen Kerajaan GRS dalam memastikan setiap komuniti di Sabah mendapat  perhatian yang adil serta menikmati hasil pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama  dan latar belakang.

“Inilah simbol sokongan dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat tanpa mengira warna  kulit, suku kaum dan fahaman agama. Kita hulurkan bantuan dan keperluan mengikut  keupayaan dan kemampuan.

“Sama-sama kita berusaha menjadikan negeri Sabah ini terus maju, aman dan makmur;  membangun dengan pesat, demi kesejahteraan kita semua,” katanya.

Selaras dengan itu, Kerajaan negeri Sabah telah melakar satu lagi sejarah penting apabila  mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) yang membuka ruang lebih luas kepada  pemegang sijil untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri  serta memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.

“Langkah ini mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian sistem pendidikan yang  wujud di negeri ini. Apa yang paling penting bagi kita ialah melahirkan modal insan yang  berkualiti, berpengetahuan dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah pada masa  hadapan,” katanya.

Sementara itu, sejumlah RM9 juta telah diluluskan bagi Zon Pantai Timur yang merangkumi  Sandakan, Beluran, Tongod, Telupid, Paitan, Kinabatangan dan Sukau, meningkat sebanyak  RM2 juta berbanding tahun 2025.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.41 juta diperuntukkan kepada 42 institusi pendidikan  yang terdiri daripada sebuah sekolah persendirian Cina, dua sekolah menengah jenis  kebangsaan, 10 sekolah jenis kebangsaan Cina, sembilan sekolah rendah dan menengah  kebangsaan mubaligh, 18 tadika serta dua sekolah swasta mubaligh.

Sementara itu, sebanyak RM4.58 juta diperuntukkan kepada badan-badan keagamaan bukan  Islam yang melibatkan 96 gereja daripada sembilan denominasi, 27 tokong dan dua kuil.

“Pada tahun ini juga, sebanyak 46 permohonan baharu daripada gereja telah diluluskan. Saya  berharap bantuan yang disampaikan pada hari ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi  tujuan penyelenggaraan, penambahbaikan kemudahan, pembangunan pendidikan dan aktiviti  kerohanian demi manfaat masyarakat setempat,” katanya.

Hajiji memberi jaminan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan beliau akan terus berpegang  kepada prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman.

“Kita tidak melihat bangsa atau agama dalam menyalurkan bantuan, sebaliknya kita melihat  keperluan rakyat dan masa depan negeri yang perlu dibangunkan bersama.

“Inilah semangat yang menjadi pegangan Kerajaan GRS sejak diberi mandat mentadbir negeri  ini. Saya yakin, dengan semangat perpaduan, saling menghormati dan kebersamaan yang  menjadi identiti rakyat Sabah, negeri ini akan terus maju, makmur dan stabil. Inilah asas yang  akan terus memacu Sabah Maju Jaya untuk generasi hari ini dan masa depan,” katanya.

“Sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, kita juga sedaya upaya merancang dan  bekerja keras bagi mengatasi masalah sebarang isu dan mengambil berat dan sentiasa  berusaha memastikan semua kaum, tanpa mengira warna kulit dan fahaman agama, mendapat  pembelaan yang adil dan saksama.

“Sebab itu saya sentiasa menyokong dan membantu mana-mana institusi, pertubuhan bukan  kerajaan (NGO) atau persatuan yang memerlukan bantuan. Inilah semangat kekitaan dan  kebersamaan yang menjadi prinsip perjuangan GRS dan Kerajaan Negeri sejak membentuk  kerajaan pada tahun 2020,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular