KOTA KINABALU : Datuk Ong Kim Swee memuji aksi ledakan hatrik pemain penyerang veteren skuad kendaliannya Amri Yahya.
Susulan kemenangan Sabah FC dalam perlawanan Liga Super yang berlansung Ahad lalu di Stadium Likas ledakan tiga gol penyerang veteren, Amri Yahya menjadi tumpuan dan berjaya kembali meletakkan Sabah di tangga kedua carta liga.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak putus memberi pujian buat Amri kerana berjaya memberi kelegaan buat pasukan untuk kembali meraih tiga mata setelah sebelum itu mereka tewas di tangan Kuala Lumpur City.
Kim Swee berkata aksi yang ditampilkan Amri tidak akan dapat digugat mana-mana pemain lain pada masa akan datang apatah lagi pada usia sedemikian beliau masih mampu meledak hatrik.
“Apa yang ditampilkan oleh Amri ketika ini wajar dicontohi oleh semua pemain Sabah terutama sekali pemain-pemain muda kerana dalam usia sedemikian, Amri masih konsisten untuk memberi aksi cemerlang buat pasukan,” tambahnya.
“Kita tahu Amri adalah pemain yang cukup berpengalaman dan bermain agak baik walaupun telah berusia 41 tahun,” tambahnya lagi.
Menurut Kim Swee, beliau percaya rekod jaringan hatrik beliau sebagai pemain paling berusia dalam saingan Liga Malaysia akan bertahan lama.
“Ini membuktikan kemampuan Amri serta beri keyakinan untuk dirinya malah beliau harus menjadi contoh pemain-pemain muda Sabah untuk bermain sepertinya,” tambahnya.
Kim Swee berkata, segala kejayaan itu tidak mungkin akan berlaku sekiranya para pemain tidak fokus dan mengekalkan disiplin sehingga ke wisel penamat perlawanan.


