spot_img
HomeSukanEmpat pasukan sertai Kejohanan SMJ Cup 2022

Empat pasukan sertai Kejohanan SMJ Cup 2022

KOTA KINABALU : Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan FC dan Sarawak United bakal berentap dalam kejohanan empat penjuru bagi merebut Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup) 2022.

Kejohanan itu akan bermula esok hingga 18 Februari ini dan berlangsung di Stadium Likas.

Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw berkata kejohanan itu juga merupakan satu langkah proaktif Sabah FC bagi menjimatkan kos untuk membuat perlawanan pra musim tanpa perlu ke luar negeri mahupun negara yang memerlukan kos tinggi.

Scott berharap kejohanan itu mampu menjadi acara tahunan dengan menampilkan beberapa kelab-kelab hebat di negara ini.

Menurut Scott, sudah pasti kita mengharapkan kejohanan seperti ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan sekaligus dapat meningkatkan industri sukan pelancongan di Sabah yang cukup terkenal dengan pelbagai destinasi menarik.

“Selain itu juga kita mahu memberi peluang kepada peminat bola sepak di Sabah menyaksikan lebih dekat penampilan dan kemampuan para pemain Sabah FC dalam pra musim ini,” tambahnya.

Scott berkata Sabah FC pada musim ini turut dibarisi muka-muka baharu dan ternama yang bakal beraksi dalam Liga Malaysia bermula awal Mac depan.

“Kejohanan ini juga dapat melihat keserasian pemain sekaligus memberi persediaan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia,” tambahnya.

Turut hadir Pegawai Perlesenan Kelab Sabah FC, Rydwan Soeharto.

Beliau berkata bagi memastikan kejohanan SMJ Cup dapat dilaksanakan dengan jayanya, mereka akan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa demi keselamatan dan kesihatan awam khususnya membabitkan situasi terkini pandemik COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan di negeri ini.

“Ketika ini Sabah FC masih menunggu maklumat mahupun garis panduan yang akan dikuatkuasakan dan ditetapkan sepanjang kejohanan ini berlangsung daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” tambahnya.

Menurut Rydwab, kita sudah memohon dan meminta kebenaran daripada MKN Sabah dan mereka sudah meluluskan untuk kita menganjurkan pertandingan namun bersyarat.

“Ketika ini kita masih menunggu pemakluman berkenaan daripada pihak MKN dalam masa terdekat,” tambahnya.

“Kapasiti maksimum kehadiran penonton ketika ini ditetapkan adalah seramai 5,500 orang,” tambahnya lagi.

Untuk makluman, orang ramai boleh membeli tiket untuk ke perlawanan ini di laman sesawang www.tickethotline.com.my dan sebarang persoalan berkenaan pembelian tiket boleh diajukan kepada @ticket.hotline. – Sabah FC

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular