BATU SAPI: Penantian seorang warga emas, Che berusia 90 tahun untuk tinggal dalam rumah yang selesa akhirnya tercapai apabila menerima Rumah Mesra SMJ daripada Kerajaan Negeri Sabah hasil usaha ADUN Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin.
Che sebelum ini mendiami sebuah rumah kayu usang di Jalan Yew Hin Kee yang hampir roboh selepas tiangnya dimakan anai-anai.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan keselamatan memandangkan rumah berkenaan boleh runtuh pada bila-bila masa.

“Sekarang saya tidak lagi risau kalau hujan lebat atau angin kuat datang.
Terima kasih kepada kerajaan negeri, pasukan khidmat ADUN dan Datuk George kerana membantu saya mendapatkan rumah baharu ini,” katanya.
Sementara itu, George berkata, usaha membantu rakyat mendapatkan kediaman yang selamat merupakan antara fokus utama kerajaan negeri di bawah program berkenaan.
Menurutnya, Che bukanlah satu-satunya penerima kerana masih ramai penduduk di kawasan DUN Karamunting yang tinggal di rumah kayu lama dan berisiko akibat kerosakan struktur termasuk serangan anai-anai.
“Kerajaan negeri melalui Rumah Mesra SMJ sentiasa komited memastikan setiap rakyat, khususnya golongan rentan dan berpendapatan rendah, berpeluang memiliki kediaman yang lebih selesa serta selamat.
“Pasukan khidmat saya akan terus membantu penduduk yang layak untuk memohon skim ini, agar lebih ramai dapat merasai nikmat rumah baharu,” katanya selepas menyerahkan kunci simbolik Rumah Mesra SMJ kepada Che baru-baru ini.
Program Rumah Mesra SMJ merupakan inisiatif kebajikan kerajaan negeri Sabah bagi membantu golongan kurang berkemampuan memiliki rumah secara percuma sekiranya memenuhi syarat kelayakan, sekali gus melambangkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat. — DEMI SABAH