spot_img
HomePolitikZakaria curi tumpuan pakai baju ‘DZME’

Zakaria curi tumpuan pakai baju ‘DZME’

SANDAKAN: Pemakaian baju tertera huruf DZME oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd Edris, ketika menghadiri Program Ramah Mesra dan Penyampaian Bantuan Asnaf di Kampung Jalan Rambutan, hari ini, menarik perhatian dan beri petanda mengenai hala tuju politik beliau menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Zakaria menjelaskan, baju itu sekadar penjenamaan peribadi dan bukannya lambang parti politik.

Namun, kemunculannya kembali di lapangan selepas lama menyepi dilihat sebagai isyarat bahawa beliau mungkin sedang menguji sokongan akar umbi untuk membuat kemunculan semula di kerusi panas berkenaan.

Zakaria mengagihkan sumbangan kepada masyarakat Tiong Hua.

“Harap semua faham, nama ini bukan nama parti politik, ini hanya perseorangan.

“Saya mahu kembali berjumpa saudara, rakan dan penduduk yang pernah saya wakili sebelum ini,” katanya ringkas.

Walaupun tampil secara santai, Zakaria tetap mengagihkan 160 bakul makanan sumbangan peribadi kepada golongan asnaf, sambil menegaskan jiwa seorang pemimpin tidak pernah terpadam walaupun sudah tidak bergelar wakil rakyat.

Kehadiran beliau menerima reaksi positif daripada masyarakat setempat, termasuk mereka yang pernah merasai khidmatnya ketika memimpin kawasan itu.

Suti Abdullah, 60, dari Batu 15 berkata, khidmat Zakaria semasa menjadi ADUN dulu masih segar dalam ingatan.

Suti Abdullah

“Saya rakyat biasa saja, tapi adik saya selalu ikut beliau dalam program.

“Dari dulu lagi dia memang suka turun padang dan bantu orang kampung. Mungkin dia masih boleh berkhidmat macam dulu,” katanya.

Rosman Rahmat, 42, dari Kampung Teratai pula menyifatkan program ramah mesra itu membuktikan Zakaria masih dekat dengan rakyat.

Zakaria berbaju T putih tertera DZME ketika mengagihkan sumbangan bakul makanan di Kampung Jalan Rambutan, Batu 14.

“Kalau tengok cara dia, saya rasa dia masih boleh berkhidmat untuk rakyat.

“Program begini jadi contoh bagaimana pemimpin terus dekat dengan masyarakat,” katanya.

Kerusi DUN Gum-Gum kini disandang Arunarnsin Taib daripada Parti Warisan yang memenangi PRN lalu dengan majoriti tipis 269 undi.

Kedudukan itu menjadikan Gum-Gum antara kerusi paling hangat diperkatakan bakal menjadi rebutan pada PRN17, termasuk kemungkinan kembalinya Zakaria sebagai pencabar utama. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular