SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, menyatakan keyakinan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), sekiranya beliau dipilih sebagai calon.
Jaffari yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata, hasrat beliau untuk bertanding bukan sekadar mengisi kekosongan kerusi, sebaliknya bagi memastikan suara akar umbi terus didengar dan kebajikan rakyat terjamin.
“Saya sedia memikul tanggungjawab ini demi rakyat Gum Gum jika diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti.
“Jentera kita sudah bersiap siaga untuk memastikan kerusi ini dimenangi GRS,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Khas di Balai Raya Kampung Ulu Dusun, Batu 30, Ahad lalu.

Pada program itu, 115 penerima menerima bakul makanan, empat keluarga mendapat 60 keping zink, manakala seorang lagi diberi 10 keping papan lapis untuk membaiki rumah.
Bantuan tersebut diagihkan dengan kerjasama ketua-ketua cawangan PGRS Bahagian Gum Gum melibatkan beberapa kampung termasuk Sungai Kapor, Desa Menanti, Kitagas, Pangkalan Batu 16 dan Ulu Dusun.
Menurut Jaffari, fokus beliau jika diberikan mandat adalah isu asas yang sekian lama membelenggu rakyat, antaranya infrastruktur jalan kampung, bekalan air bersih, akses pendidikan berkualiti serta peluang ekonomi untuk belia dan wanita.
“Gum Gum mempunyai potensi besar tetapi masih banyak isu asas perlu diberi perhatian.
“Saya mahu pembangunan sampai ke setiap kampung tanpa mengira latar belakang, seiring dasar kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan pentingnya kerusi itu ditandingi calon daripada GRS bagi memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri.
“Kerusi ini amat penting kepada GRS.
“Saya berharap ia ditandingi calon daripada gabungan ini supaya kedudukan kita lebih kukuh dan rakyat terus diwakili dalam kerajaan negeri,” katanya.
Kerusi DUN Gum Gum kini disandang Arunarnsin Taib daripada Parti Warisan yang menewaskan calon BN, Datuk Suhaimi Nasir pada PRN lalu dengan majoriti tipis 269 undi dalam pertandingan enam penjuru. — DEMI SABAH


