SANDAKAN: Jelajah Pemuda Gagasan Rakyat diteruskan di Zon Sandakan dengan menghimpunkan pimpinan Pemuda Bahagian Sekong, Karamunting, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Gum-Gum, Elopura dan Tanjung Papat.
Datuk Azrul Ibrahim, Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat berkata pertemuan ini penuh semangat dan komitmen yang tinggi.
“Perjumpaan ini menjadi platform penting untuk memperincikan perkembangan parti serta membincangkan isu-isu semasa, khususnya dalam merungkai cabaran yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi”
“Perbincangan yang terbuka dan berfokus ini membolehkan setiap pimpinan bahagian menyelaras gerak kerja serta memperkukuh kesatuan dalam menghadapi landskap politik yang semakin dinamik,” katanya.
Tambah Azrul, Pemuda Gagasan Rakyat juga menzahirkan kesediaan untuk menjadi tulang belakang parti, dengan tekad dan disiplin yang tinggi dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 yang akan datang.
Menurut beliau, kekuatan jentera pemuda bukan sahaja terletak pada jumlah, tetapi pada kejelasan hala tuju, kesatuan fikrah dan keberanian membawa suara rakyat.

“Lebih penting, Pemuda Gagasan Rakyat komited untuk terus menjuarai isu-isu rakyat, khususnya yang melibatkan anak muda daripada peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan hinggalah kepada kos sara hidup”
“Suara anak muda tidak boleh sekadar didengar, tetapi mesti diperjuangkan dengan tindakan yang nyata dan berkesan,” jelasnya lagi.
Azrul turut memuji komitmen Pemuda bergerak sebagai satu pasukan, memperkukuh parti, dan memastikan aspirasi rakyat terus menjadi keutamaan.


