SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru umat Islam di negeri ini untuk terus meneladani perjuangan, kepimpinan dan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan hidup dalam membina masyarakat yang beriman, adil dan bersatu padu.
Beliau berkata, Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M yang diadakan di Sandakan hari ini adalah peringatan bermakna bahawa sirah Nabi Muhammad SAW bukan hanya diraikan melalui lisan dan perarakan semata-mata, tetapi lebih penting untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah atas asas kebersamaan dan toleransi. Inilah contoh terbaik bagi negeri Sabah yang berbilang etnik dan agama.
“Kita perlu mengejalkan keharmonian untuk terus mara ke hadapan,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Merangkap Exco Agama, Datuk Arifin Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Jaffari Waliam dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson.
Sambutan berkenaan menyaksikan penyertaan meriah daripada 113 kontinjen perarakan melibatkan lebih 13,000 peserta daripada pelbagai jabatan, agensi, sekolah, institusi pengajian serta badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam majlis itu, turut disampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul bagi kategori lelaki dan wanita selain beberapa anugerah lain sebagai pengiktirafan kepada individu yang memberi sumbangan besar dalam pembangunan ummah.
Hajiji berkata, seiring dengan tema sambutan tahun ini, “Membangun Ummah Madani”, kerajaan negeri komited memperkukuhkan pendidikan agama, memperkasa peranan belia dan wanita, serta memperluas penganjuran sambutan Maulidur Rasul ke daerah-daerah utama di seluruh Sabah agar syiar Islam terus subur di setiap pelusuk negeri. — DEMI SABAH


