spot_img
HomeSemasaPenyertaan saat akhir bukan halangan SMIDAH raih Naib Johan

Penyertaan saat akhir bukan halangan SMIDAH raih Naib Johan

SANDAKAN: Sekolah Menengah Integrasi Tahfiz Darul Hasanah (SMIDAH) tidak menyangka mampu meraih tempat kedua dalam pertandingan perarakan kontinjen sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW 1447H/2025M peringkat Negeri Sabah, meskipun hanya melakukan persiapan pada saat-saat akhir.

Pengasas merangkap Pengetua SMIDAH, Dr. Azihal Bangsawan berkata, kejayaan itu adalah hasil keyakinan, usaha bersama dan sokongan pelbagai pihak walaupun berdepan pelbagai kekangan.

Hazeq menerima hadiah kemenangan daripada Hajiji selepas diumum Naib Johan Kategori Sepanduk Terbaik sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1447H.

“Awalnya memang terasa mustahil kerana tarikh penyertaan sudah hampir tutup.

“Namun dengan doa, saranan para murabbi serta semangat sahabat-sahabat, akhirnya SMIDAH nekad untuk turut serta.

“Syukur, Allah mudahkan jalan hingga kita mampu membawa pulang gelaran Naib Johan,” katanya.

Menurutnya, penyertaan SMIDAH bersama Maahad Tahfiz Darul Hasanah (MTDH) disusun dalam masa yang singkat, dengan pelbagai liku termasuk urusan logistik, persiapan sepanduk serta kekangan dana.

Azihal turut bersyukur berkat bantuan para ibu bapa, guru-guru, pelajar, serta sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif yang memahami perjuangan mereka, semua cabaran dapat diatasi.

Hazeq memegang hadiah bersama sepanduk SMIDAH.

“Malah, lebih manis apabila Ketua Kontinjen, Cikgu Mohd. Hazeq Yahya, sudi menggalas tanggungjawab besar ini,” ujarnya.

Dalam pertandingan tersebut, Johan kategori sekolah dimenangi Pondok Fi Dzilalil Quran, Kota Belud yang diketuai Ustaz Khalid El Fathoni @ Kawsin.

“Walaupun hanya berbeza 0.1 peratus markah, kami tetap bangga kerana usaha sepenuh hati warga SMIDAH dan MTDH akhirnya membuahkan hasil. Ini adalah hadiah untuk semua,” tambahnya.

Kontinjen SMIDAH

Ujarnya, kejayaan itu sekali gus membuktikan dengan kesungguhan, doa, serta sokongan masyarakat, kekangan masa dan sumber bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan.

Sambutan Maulidur Rasul disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama, Datuk Arifin Arif. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular