spot_img
HomePolitikNizam nafi 'perbualan itu' dirinya

Nizam nafi ‘perbualan itu’ dirinya

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Datuk Seri Abu Bakar Titingan menafikan sekeras-kerasnya penyebaran tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular kononnya melibatkan dirinya bersama beberapa individu lain.

Menurut beliau, fitnah yang disebarkan itu merupakan rekaan semata-mata dengan tujuan memburukkan nama baiknya serta mencemar imej Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

“Fitnah jelik ini sengaja direka untuk menjatuhkan saya.

“Saya menegaskan sekali lagi, saya tidak pernah menghantar mesej yang ditularkan itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, hari ini.

Beliau berkata, susulan isu itu beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada petang Rabu.

Malah, peguamnya juga telah diarahkan untuk mengeluarkan Notis Tuntutan (Letter of Demand, LOD) kepada individu yang dikenali sebagai Atan atau Tandiko Bin Dalusin, yang menggunakan akaun Facebook bernama “Huzaifah Al-Likasi” dipercayai menjadi dalang utama penyebaran.

Nizam turut menyifatkan penyebaran fitnah itu sebagai sebahagian daripada taktik politik kotor yang pernah digunakan sebelum ini, termasuk terhadap ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif.

“Politik harus berlandaskan hujah, fakta dan idea, bukannya fitnah serta manipulasi. Tindakan sebegini bukan sahaja merosakkan nama baik saya dan parti, malah berpotensi menimbulkan keresahan awam,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai himpunan Justice for Zara Qairina yang berlangsung di Tawau pada 31 Ogos lalu sebagai tanda solidariti masyarakat terhadap kematian tragis pelajar berusia 14 tahun itu.

“Saya menghormati hak masyarakat untuk menyuarakan keprihatinan dan menuntut keadilan.

“Namun, himpunan yang baik niatnya tidak wajar dicemari dengan ucapan atau tindakan yang melampaui batas undang-undang,” katanya sambil menegaskan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa dalam menyiasat insiden ucapan berunsur hasutan yang berlaku semasa perhimpunan berkenaan.

Tegasnya, kebenaran akhirnya akan mengatasi kebatilan, dan apa yang lebih penting kini ialah memastikan fokus masyarakat kekal terarah kepada mencari keadilan serta penyelesaian jangka panjang demi keselamatan pelajar di negeri ini. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular