SANDAKAN: Tiga rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di Jambatan 5, Kampung Gas Tengah, Batu Sapi petang tadi.
Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 37 buah rumah lain daripada terbakar.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima jam 1.41 petang sebelum sepasukan 14 anggota bersama beberapa jentera bergegas ke lokasi.
Komander Operasi, PBK II Fauziah Samang berkata, kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 100×60 kaki persegi yang musnah 100 peratus.

“Pasukan pemadaman menggunakan teknik defensive dengan dua aliran hos sepanjang 1,200 kaki dan 700 kaki.
“Kebakaran berjaya dikawal jam 2.19 petang dan ditamatkan sepenuhnya jam 4.51 petang.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam kejadian ini,” katanya.
Menurutnya, seramai 67 anggota daripada pelbagai agensi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ERT Kilang IOI serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) turut membantu sepanjang operasi itu.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Wasatiyyah, Mohd Zharif Aizat Samsudin turun melawat lima keluarga terlibat berkata, semangat dan kesabaran mangsa kebakaran wajar dijadikan teladan.

“Alhamdulillah, kami bersama beberapa pemimpin kampung turun untuk menziarahi mangsa serta menyalurkan bantuan awal.
“Walaupun api telah memusnahkan rumah dan harta benda, tetapi kasih sayang dan kekuatan keluarga masih utuh.

“Semoga bantuan kecil ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka. Jangan pernah berputus asa kerana setiap ujian pasti hadir bersama jalan keluar,” katanya. — DEMI SABAH


