SIPITANG: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semasa membersihkan kebunnya ditemukan selamat, di Kampung Ulu, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPPM) Negeri Sabah berkata, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.36 semalam.
Menurutnya, mangsa yang berumur 81 tahun itu ditemukan selamat selepas kira-kira 11 jam dilaporkan hilang.
“Pasukan bomba segera melakukan pencarian membabitkan radius satu kilometer di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Operasi ditangguhkan pada jam 10.30 malam dan disambung semula hari ini dengan radius pencarian diluaskan sehingga tiga kilometer.
“Mangsa ditemukan selamat oleh penduduk sekitar jam 6.20 pagi tadi kawadan Jalan Katipoh Ladang Kelapa Sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada ahli keluarganya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.26 pagi. – Utusan Borneo