spot_img
HomeSemasaRegatta Lepa, platform terbaik tonjolkan budaya

Regatta Lepa, platform terbaik tonjolkan budaya

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited menyokong usaha setiap daerah dalam mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi masyarakat di kawasan masing-masing, seperti Regatta Lepa.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, rakyat negeri ini bertuah kerana kepelbagaian kaum dan budaya yang menjadi tarikan pelancong.

“Penganjuran program sebegini merupakan platform terbaik untuk rakyat, khususnya masyarakat Bajau di daerah Semporna dalam mengetengahkan budaya tradisi mereka,” katanya ketika melancarkan Majlis Promosi dan Pembangunan Regatta Lepa 2022 Sabah, kelmarin.

Jelas beliau, pembukaan sempadan negara pada 1 April dilihat dapat membantu memulihkan ekonomi Sabah yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19.

“Saya yakin penganjuran pesta Regatta Lepa akan terus menjadikan daerah Semporna sebagai destinasi pelancongan dan seni budaya yang terkemuka. Baik di negeri, wilayah mahupun peringkat antarabangsa,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Kebudayaan Kesenian Bajau Semporna (PEKAS) dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) Universiti Malaysia Sabah, atas usaha dan kerjasama menjayakan Pesta Regatta Lepa Antarabangsa yang berlangsung dari 23 Mei hingga 28 Mei 2022.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS) akan berusaha untuk memastikan cadangan mewujudkan kerusi penyelidik bagi kumpulan etnik Bajau Sama di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dapat direalisasikan.

Terdahulu, Pengerusi PEKAS, Nasir Tun Sakaran Dandai berkata, PEKAS telah mencadangkan pengerusi penyelidik bagi etnik Bajau Sama diwujudkan di UMS, dan persatuan itu akan memberi sokongan padu terhadap cadangan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular