KOTA BHARU: Kegembiraan tujuh beranak bercuti bertukar tragedi apabila kepulangan mereka dikejutkan dengan berita kediaman mereka di Kampung Perol, Peringat telah terbakar.
Kebakaran berlaku kira-kira jam 4.30 pagi dimana telah memusnahkan tiga buah kereta termasuk Mercedes Benz milik anak mangsa.
Sabariah Awang, 67, berkata ketika kejadian berlaku dia dan ahli keluarga tiada di rumah kerana sedang bercuti di sebuah resort di Tok Bali, Pasir Puteh manakala suaminya Mustapha Abdul Razak berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja.
“Kami bertolak ke resort pada jam 10.00 malam namun pada awal pagi jiran telah menelefon memberitahu bahawa rumah kami hangus dijilat api. Kami bergegas pulang namun rumah dan tiga kereta milik anak tidak dapat lagi diselamatkan lagi,” katanya.
Impian mereka mahu meluangkan masa bersama sempena kepulangan menantunya dari Selayang, Selangor kini musnah sekelip mata.
Menantunya, Nur Farhanah Aslan, 28, berkata dia baru tiba di kampung selepas diambil oleh suaminya, Muhamad Shahdan Mustapha, 28, menaiki Mercedes Benz yang turut hangus dalam kejadian. Lebih memilukan, barangan perniagaan suaminya yang menjual barang perkakasan yang diletakkan di dalam rumah turut hangus termasuk peralatan komputer, alat pencetak dan barangan lain.
“Dua lagi kereta yang turut hangus adalah kereta Perodua Viva dan Kereta Perodua Kancil. Suami baru sahaja kehilangan kedai kerana dirobohkan untuk membesarkan jalan, kini rumah yang kami duduki pula hangus,” jelasnya lagi.
Jiran mangsa, Aini Mamat, 56, yang juga saksi kejadian memberitahu, anak mengejutkannya selepas terdengar bunyi letupan daripada rumah Sabariah.
“Kami nampak kereta Shahdan terbakar kemudian meletup. Letupan itu terkena pada bumbung dan terus merebak ke bahagian rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumbuh, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hamizi Muhammad berkata, pihak mereka telah menerima panggilan pada jam 4.21 pagi.
Enam anggota balai bomba Pasir Puteh serta enam anggota bomba bantuan dengan dua jentera dari balai bomba Pasir Tumbuh dan Tunjung ditugaskan dalam operasi pemadaman api.
Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.02 pagi dan operasi tamat jam 7.10 pagi selepas bomba menjalankan penilaian keselamatan di tempat kejadian. Punca dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.


