spot_img
HomeEkonomiJumlah deposit Tabung Haji melonjak setakat Mei 2022

Jumlah deposit Tabung Haji melonjak setakat Mei 2022

KUALA LUMPUR: Merujuk kepada catatan laporan semasa, lembaga Tabung Haji (TH) telah berjaya mencatatkan rekod deposit tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat bulan Mei 2022 dan ini menunjukkan keyakinan umat Islam yang semakin kuat terhadap institusi pengurusan haji negara.

Jumlah deposit Tabung Haji dianalisis telah meningkat hampir 16 peratus kepada RM88 bilion daripada jumlah RM75.92 bilion yang direkodkan pada 31 Disember 2020.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi, Mohamed Ameen Abdul Wahab, berkata peningkatan itu sesuatu yang agak ketara apabila deposit bersih bulanan juga kian mencecah lebih RM1 bilion.

“Merujuk kepada rekod semasa, Tabung Haji telah mencatat deposit bersih sebanyak RM1.1 bilion pada bulan April 2022 dimana jumlah tersebut adalah antara deposit bersih bulanan tertinggi setakat ini. Daripada rekod ini, keyakinan orang Islam di Malaysia terhadap pengurusan Tabung Haji bertambah baik,” katanya.

Di samping itu, Tabung Haji turut mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat adalah sebanyak 3.10 peratus bagi 2021 yang memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendepositnya yang melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.46 bilion berbanding RM2.24 bilion yang diagih pada 2020, disini jelas dilihat kadar peningkatan adalah sebanyak RM219 juta.

Tambahnya lagi, Tabung Haji sentiasa komited untuk menambah baik perkhidmatan dalam usaha menggalakkan seluruh umat Islam di Malaysia untuk membuka akaun sendiri kerana
setakat ini, kira-kira 55 peratus umat Islam di Malaysia masih belum mempunyai akaun Tabung Haji.

“Tabung Haji ditubuhkan untuk membantu dalam menguruskan umat Islam Malaysia yang hendak mengerjakan haji dimana ia merupakan antara tuntutan dalam rukun Islam. Maka, penting untuk semua orang Islam Malaysia membuka akaun serta mendaftar haji ,” jelasnya.

“Jumlah pendeposit Tabung Haji hari ini kira-kira RM8.5 juta manakala jumlah orang Islam di Malaysia mengikut perangkaan 2020 adalah lebih kurang 18.9 juta. Kira-kira 45 peratus rakyat Malaysia beragama Islam adalah pendeposit Tabung Haji,” tambahnya.

“Sekiranya 55 peratus orang Islam Malaysia yang belum mempunyai akaun Tabung Haji ini membuka akaun, saiz deposit akan lebih berkembang dan lebih banyak keuntungan boleh diperoleh untuk membantu lebih ramai asnaf di seluruh negara melalui zakat” katanya.

Kini, Tabung Haji juga menyediakan pembukaan akaun secara dalam talian malah pemohon hanya perlu hadir di mana-mana cawangan Tabung Haji di seluruh negara untuk pengesahan biometrik sahaja.

Tahun ini buat julung kalinya, Tabung Haji mengeluarkan tawaran haji secara dalam talian melalui aplikasi THiJARI dan jemaah boleh menjawab tawaran tersebut melalui aplikasi yang sama, tanpa perlu hadir ke cawangan untuk menyerahkan borang penerimaan tawaran. Mereka hanya perlu datang ke cawangan untuk menyerahkan pasport dan buku rawatan sahaja.

Platform digital THiJARI yang dilancarkan sejak Februari 2020 kini mencapai lebih 1.5 juta pengguna dan lebih 1.0 juta pengguna aplikasi telefon bimbit. Setiap hari, hampir 90,000 transaksi dalam talian dilakukan. Angka ini menggambarkan penerimaan pendeposit terhadap usaha yang telah dilaksanakan oleh pengurusan Tabung Haji.

Mohamed Ameen juga memberi pandangan sekiranya terdapat pendeposit yang kurang mahir dengan perkhidmatan dalam talian, mereka masih boleh menikmati semua perkhidmatan secara tradisional di kaunter cawangan-cawangan Tabung Haji berdekatan.

Pihak Tabung Haji juga mempunyai satu lagi saluran di mana mempunyai kerjasama dengan rakan-rakan bank lain iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank, CIMB dan yang terbaharu, AmBank.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular