Tawau: Seorang lelaki warganegara Filipina dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol seorang remaja perempuan tempatan yang juga rakan anak perempuannya, lima tahun lalu.
Man Lebba @ Manda, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, didakwa merogol mangsa yang ketika itu berumur 13 tahun 10 bulan, jam 7 malam hingga 5 pagi, di sebuah bilik rumah di Kampung Sim-Sim, Sandakan, pada Februari 2017.
Tertuduh, didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang 10 tahun penjara hingga 30 tahun penjara dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, satu laporan polis dibuat seorang pegawai perubatan yang bertugas di Wad Kecemasan Hospital Duchess of Kent Sandakan, pada 3 Julai 2017 selepas memeriksa mangsa yang mengalami sakit perut dan didapati mengandung enam bulan.
Hasil siasatan, pada Februari 2017, anak perempuan tertuduh itu mengajak rakannya (mangsa) untuk menemaninya bermalam di rumah, sebelum dirogol lelaki terbabit.
Man Lebba kemudiannya ditangkap pada 30 Disember 2020 di tempat parkir kenderaan Pasar Umum Sandakan.
Spesimen darah bayi dan warga asing itu turut diperiksa sebelum mendapati bayi berkenaan adalah anak tertuduh.
Semasa prosiding mahkamah, tertuduh membuat rayuan agar hukuman diringankan kerana sudah berumur 64 tahun dan memiliki isteri yang lumpuh perlukan penjagaan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan meminta hukuman yang setimpal dikenakan ke atas lelaki terbabit berdasarkan keseriusan jenayah dan trauma dialami mangsa yang sudah melahirkan bayi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -Utusan