spot_img
HomeSemasaTragedi pilu, 5 terkorban nahas ngeri

Tragedi pilu, 5 terkorban nahas ngeri

TUARAN: Suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan apabila lima lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dinaiki bertembung dengan sebuah lori treler di Jalan Sulaman Gayang, hadapan Pusat Latihan Rela Tuaran, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.09 petang itu, kesemua mangsa yang menaiki Toyota Wish berusia sekitar 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumber Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi dengan kekuatan sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah unit EMRS.

Anggota bomba melakukan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Toyota Wish.

“Setibanya di lokasi pada jam 2.50 petang, pasukan operasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori treler bertembung dengan Toyota Wish sebelum kedua-duanya terbabas ke bahu jalan.

“Seramai enam mangsa terlibat dalam nahas tersebut, lima daripadanya yang berada dalam Toyota Wish tersepit dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’.

“Kesemua mereka bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori treler yang merupakan seorang lelaki dewasa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Masri Gari, berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.15 petang sebelum ditamatkan lima minit kemudian setelah keadaan disahkan selamat.

Mayat semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular