spot_img
HomeSemasaJadikan sirah Rasulullah sebagai panduan - Jaffari Waliam

Jadikan sirah Rasulullah sebagai panduan – Jaffari Waliam

SANDAKAN: Rakyat Sabah khususnya generasi muda diseru agar menjadikan sirah perjuangan Rasulullah SAW sebagai panduan dalam membentuk peribadi unggul, menjaga perpaduan serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam berkata, nilai yang ditonjolkan Baginda Nabi SAW seperti kesabaran, ketabahan, pengorbanan dan khidmat untuk umat amat relevan dengan kehidupan rakyat masa kini, khususnya dalam mendepani cabaran semasa.

“Kalau kita hayati perjalanan hidup Rasulullah SAW, ia sangat dekat dengan realiti kehidupan rakyat Sabah.

“Generasi muda perlu mencontohi akhlak Baginda agar lahir masyarakat yang kuat pegangan agamanya, berilmu dan berakhlak mulia,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1447H di Sandakan, hari ini.

Majlis sambutan itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Arifin Arif.

Jaffari (belakang) ketika sidang media bersama Hajiji selepas majlis berakhir.

Jaffari menegaskan, sambutan Maulidur Rasul bukan hanya sekadar perarakan tahunan, sebaliknya ruang untuk umat Islam memperbanyakkan selawat, menghayati kelebihan bulan Rabiulawal serta mendalami sirah Baginda SAW agar dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW ini adalah bulan penuh keberkatan.

“Kita digalakkan memperbanyakkan selawat, mendalami sirah perjuangan Baginda dan menjadikan pengajarannya sebagai panduan membina kekuatan diri serta keluarga,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar program sambutan Maulidur Rasul diperluaskan dengan pengisian ilmu, ceramah serta aktiviti kerohanian supaya masyarakat benar-benar mendapat manfaat, bukan sekadar memeriahkan acara.

Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1447H tahun ini dihadiri lebih 13,000 peserta dengan 113 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pelajar sekolah dan masyarakat setempat. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular