spot_img
HomeSemasaSESB perkenal kad prabayar di kawasan setinggan Sabah

SESB perkenal kad prabayar di kawasan setinggan Sabah

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan memperkenalkan kaedah kad prabayar kepada penduduk yang layak di kawasan penempatan setinggan Sabah bagi menghentikan penyambungan elektrik secara haram.

Ketua Pegawai Transformasi SESB, Norhizami Abu Hasan berkata, kerajaan negeri Sabah telah meluluskan cadangan tersebut dan kini kawasan penempatan setinggan sedang dikenalpasti.

Beliau berkata, pengguna kad prabayar itu hanya perlu menambah nilai kad tersebut mengikut penggunaan isi rumah bulanan mereka.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan SESB sedang dalam proses memuktamadkan prosedur bekalan ke kawasan penempatan setinggan di seluruh Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, kerugian jutaan ringgit yang dialami SESB akibat kecurian elektrik adalah disebabkan oleh birokrasi utiliti itu sendiri.

“Penyambungan elektrik secara haram adalah dilarang sama sekali dan kita perlu memastikan bekalan elektrik diperoleh secara sah mengikut prosedur sedia ada,” tambahnya.

Tegasnya, tindakan tidak bertanggungjawab mencuri elektrik dan mengusik meter bukan sahaja menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada SESB, malah boleh mengundang bahaya seperti litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran.

Dalam pada itu, SESB akan terus menjalankan operasi membanteras penyambungan elektrik secara haram dan meminta kerjasama semua pihak berkaitan dalam perkara itu.

Penyambungan bekalan elektrik secara haram juga mengganggu kestabilan bekalan elektrik apabila permintaan melebihi kapasiti, menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna yang sah dan menjejaskan aktiviti perniagaan serta keselesaan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular