BALING: Seorang lelaki ditemukan mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Besar berhampiran Kampung Padang Pulai, Kuala Ketil, hari ini.
Mangsa, Muhammad Shauqi Ashraf Jasni, 26, dipercayai jatuh ke dalam sungai ketika cuba memasang pukat ikan di sungai berkenaan sekitar jam 8.30 pagi, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah, Superintentendan Shamsudin Mamat, mangsa dikatakan keluar dari rumah sekitar jam 7 pagi sebelum pergi ke Sungai Besar menaiki motosikal.
“Mangsa yang menghidap penyakit sawan tersebut dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan rakan-rakan yang mencarinya menemukan sepasang selipar dan motosikal milik mangsa di tepi sungai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Operasi pencarian mangsa dilakukan sekitar jam 8.45 pagi oleh anggota polis dari Balai Polis Kuala Ketil yang turut melibatkan seramai 20 penduduk kampung.
“Mayat mangsa ditemukan oleh penduduk kampung pada jam 11.54 pagi yang tidak jauh dari lokasi mangsa memasang pukat,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Utusan Malaysia


