spot_img
HomeJenayahTujuh lelaki ditahan bersama senjata api di Beluran

Tujuh lelaki ditahan bersama senjata api di Beluran

Beluran: Pasukan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Sabah (PROTECT) menahan tujuh lelaki bersama senjata api kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pemburuan haram di Jalan Nangoh-Paitan berdekatan sempadan Hutan Simpan Paitan, awal pagi semalam.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan berkata, kesemua individu tersebut ditahan dalam sebuah pacuan empat roda semasa Operasi Anti Poaching kira-kira 1.10 pagi, semalam.

Beliau berkata, semasa anggota Unit Protect Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) membuat rondaan menerusi operasi itu, didapati sebuah kenderaan berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu berjaya menemukan dua laras senjata api dan beberapa butir peluru.”

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek gagal menunjukkan sebarang permit untuk memburu hidupan liar ataupun lesen pemilikan senjata api,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya kesemua suspek dipercayai ingin melakukan pemburuan hidupan liar, bagaimanapun hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang bangkai binatang buruan.

“Justeru, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Beluran dan kesemua tahanan dan barang rampasan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang aktiviti pemburuan hidupan liar secara haram.

“Kegiatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang malah perbuatan ini boleh menyebabkan kepupusan spesies fauna yang disenaraikan sebagai Rare Threatened and Endangered seperti banteng atau tembadau.”

“Sebarang maklumat berkaitan pemburuan hidupan liar secara haram perlu dilaporkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar,” Tambahnya lagi. -Utusan

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular