KOTA KINABALU: Hampir separuh daripada 93 kes kematian COVID-19 direkodkan antara 8 hingga 23 Februari di Sabah melibatkan pesakit yang tidak menerima suntikan vaksin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai peningkatan kes kematian COVID-19.
Rose berkata, sebanyak 47 kes daripada 93 kematian itu berlaku di hospital manakala 46 kes kematian yang berlaku di luar fasiliti kesihatan (BID).
“Majoriti kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) tidak menerima dos penggalak,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, antara faktor penyumbang kepada BID ialah orang ramai tidak mendapatkan rawatan, menganggap mereka hanya mengalami simptom ringan dan pesakit tidak mahu mendapatkan bantuan perubatan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai menerima dos penggalak, terutama golongan berisiko tinggi.