Ranau: Pendaki dan malim Gunung Kinabalu terkejut dan teruja apabila merasai pengalaman luar biasa melihat ketulan putih dipercayai salji, ketika berada di kawasan Sayat-Sayat berdekatan puncak Gunung Kinabalu, pagi tadi.
Fenomena tersebut dilaporkan berlangsung hanya sekitar dua minit, namun salji turun di kawasan Gunung Kinabalu hari ini menggemparkan beberapa pendaki yang sempat merakamkan kejadian itu.
Video rakaman kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.18 pagi itu sempat direkodkan oleh Malim Gunung yang juga pelatih laluan Via-Ferrata Hajiri Sulumin, 47, sebelum tular di laman Facebook.
Menurutnya, fenomena salji kali ini adalah pengalaman keduanya selepas menyaksikan kejadian pertama pada 2018. Ujarnya yang semasa kejadian berlaku, beliau berada di kawasan pusat pemeriksaan (check point) Sayat-Sayat.
Beliau juga yakin, fenomena itu sememangnya benar salji memandangkan keadaannya yang ringan berbanding ketulan ais yang lebih berat.
“Ia memang salji seperti kepingan ringan, kalau ketulan ais ia berat,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu Justinus Guntabid berkata, fenomena berkenaan adalah pembekuan (frozen) yang berlaku apabila tahap suhu lebih lembap dari biasa.
Katanya, purata suhu di kawasan berkenaan bermula jam 2 hingga 10 pagi kira-kira 6.9 hingga 12.3 darjah celsius, lebih sejuk dari biasa.
“Tetapi ini bacaan suhu di kawasan Panalaban dan kalau di atas suhu lebih sejuk.”
Menurutnya, berdasarkan rekod sebelum ini, salji turun pernah direkodkan berlaku di kawasan puncak Gunung Kinabalu pada 1975 dan yang terakhir pada 1993.
Dalam pada itu, Justinus turut menganggap kumpulan pendaki yang berada di puncak Gunung Kinabalu yang menyaksikan kejadian itu sebagai bertuah memandangkan fenomena berkenaan jarang berlaku. -Utusan