LABUAN: Kes COVID-19 yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun menunjukkan peningkatan di Labuan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata setakat 27 Februari, seramai 54 kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun telah dijangkiti COVID-19 manakala 219 kes lagi membabitkan kanak-kanak yang berumur 13 tahun ke atas.
Menurutnya, setakat ini terdapat 10 orang kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun yang sedang menerima rawatan dengan lima daripadanya dirawat di hospital manakala lima lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC). Baki seramai 44 orang kanak-kanak yang berada di bawah kategori dua COVID-19 sedang kuarantin di rumah.
“Pihak kami sedang memantau secara serius berkenaan bilangan jangkitan membabitkan kanak-kanak yang semakin membimbang kerana menunjukkan peningkatan secara berterusan sejak minggu lepas.
“Tersapat 82 kes baharu yang melibatkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah pada 23 Februari, sebelum menurun kepada 65 kes pada 26 Februari. Sebanyak 54 kes direkodkan semalam, namun kami masih tidak dapat meramal bilangan kes kategori ini untuk beberapa hari yang akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Dr Ismuni berkata bilangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids) masih belum mencapai sasaran sejak ia dilancarkan pada 7 Februari lepas.
“Kami menjangkakan untuk menjalankan PICKids selama sebulan, namun bilangan kanak-kanak yang menerima dos pertama mereka masih belum melebihi 50 peratus daripada jumlah 11,700 yang disasarkan.
“Setakat ini, hanya 23.94 peratus atau 2,801 kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin di empat pusat vaksinasi sedia ada iaitu Hospital Labuan, Dewan Kompleks Darul Kifayah, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2 dan SK Sungai Lada,” katanya. – Utusan Borneo