TUARAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memukat ikan di muara Sungai Serusup sejak Sabtu lalu, disambung semula hari ini dengan kekuatan lebih ramai anggota penyelamat.
Komander Operasi, PBK I Azran Jull berkata, operasi bermula jam 10 pagi dengan penglibatan 20 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Kinabalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pencarian difokuskan di sekitar muara dan pesisir pantai menggunakan bot penyelamat serta aset agensi lain, manakala Unit Dron melakukan pemantauan dari udara.
“Pasukan darat turut melaksanakan pencarian bermula dari jeti Kampung Serusop sehingga kawasan berhampiran lokasi bot mangsa ditemui sebelum ini,” katanya.
Setakat petang ini, katanya, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan.
Menerusi perkembangan awal semalam, mangsa dikenali sebagai Husaini Saidin, 34, dilaporkan tidak pulang selepas keluar memukat jam 4.30 pagi Sabtu lalu.
Usaha keluarga dan penduduk kampung mencari mangsa hanya menemui botnya yang terdampar di tebing muara sungai dalam keadaan rosak.
Laporan polis dibuat pada 1 September sebelum BBP Tuaran menerima panggilan kecemasan jam 1.19 tengah hari.
Operasi hari pertama dijalankan dengan radius 15 kilometer sepanjang pesisir pantai bersama bantuan penduduk kampung serta pasukan PPDA Kota Kinabalu, namun mangsa masih gagal dikesan.
Mangsa, yang juga bapa kepada dua anak masih dilaporkan hilang sehingga kini. — DEMI SABAH