SANDAKAN: Masyarakat di Sungai Sibuga sekali lagi membuktikan keyakinan mereka terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketua Bahagian PGRS Sungai Sibuga, Datuk Amir @ Amir Shah Yaakub berkata, perkara itu dizahirkan menerusi majlis perasmian cawangan baharu PGRS Sungai Sibuga, iaitu Cawangan Sungai Kayu Sibugal Ulu semalam.
Beliau menegaskan, politik bukan sekadar wadah perjuangan tetapi juga ruang untuk mengeratkan silaturahim, perpaduan dan ukhwah dalam kalangan masyarakat.

“Perasmian ini menjadi bukti jelas bahawa rakyat terus menaruh kepercayaan kepada kerajaan hari ini untuk melaksanakan agenda pembangunan, perpaduan dan kemajuan demi masa depan yang lebih baik buat generasi akan datang.
“Selamat datang dan setinggi-tinggi tahniah kepada keluarga baharu PGRS,” katanya dalam ucapan perasmian tersebut.

Menurutnya, kewujudan cawangan baharu itu akan mengukuhkan lagi gerak kerja parti di peringkat akar umbi selain memastikan perjuangan PGRS terus sampai kepada segenap lapisan masyarakat. — DEMI SABAH


