JOHOR : Kerajaan Persekutuan akan meneliti permintaan Kerajaan Sarawak untuk menaikkan kadar pemberian khas kepada negeri itu, namun sebarang keputusan perlu mengambil kira kemampuan fiskal negara ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan lazimnya Kementerian Kewangan (MOF) akan diminta membuat kajian lanjut.
“Ya, itu sebenarnya permintaan daripada Kerajaan Sarawak. Saya fikir perkara ini sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan selalunya MOF akan diminta untuk mengkaji.
“Kita harapkan ada pertimbangan daripada pihak Kerajaan Persekutuan terhadap permintaan Kerajaan Negeri Sarawak ini,” katanya kepada wartawan Demi Sabah sewaktu ditemui di Johor.
Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan tambahan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodi di Dewan Rakyat, pada 30 Jun lalu.
Doris sebelum itu membangkitkan persoalan sama ada Kerajaan Persekutuan bercadang menaikkan kadar pemberian khas kepada Sarawak susulan peningkatan kadar interim pemberian khas kepada Sabah kepada RM1.5 bilion.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, kerajaan ketika ini turut berdepan pelbagai cabaran ekonomi global yang memberi kesan kepada kedudukan fiskal negara.
Katanya, perkembangan geopolitik dunia termasuk konflik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel turut memberi impak kepada ekonomi dan kewangan negara.
“Ini juga perlu mengambil kira kemampuan kerajaan yang sekarang sedang berdepan pelbagai cabaran, terutama ekonomi global yang semakin mencabar.
“Di peringkat Persekutuan, kita sedang meneliti kesan pasca konflik ini yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada fiskal negara,” ujar Mustapha lagi.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa permintaan Sarawak akan dipertimbangkan mengikut keupayaan kewangan kerajaan dan proses penelitian yang sedang dilaksanakan.


