SANDAKAN: Presiden Parti Impian Sabah (PIS), Michel Alok @ Ilok, membuat laporan polis berhubung beberapa kandungan video di aplikasi TikTok yang didakwa berunsur penghinaan terhadap kaum dan agama serta berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri ini.
Menurut Michel, laporan itu dibuat di Balai Polis Sandakan susulan penularan beberapa video berdurasi antara 18 saat hingga 1 minit 26 saat yang dimuat naik pada 29 dan 30 Ogos lalu.

“Kandungan yang dimuat naik ini sangat ekstrem, sensitif dan tidak boleh diterima kerana boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan suku kaum di Sabah serta menyentuh sensitiviti keagamaan,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis tersebut.
Pengerusi PIS Bahagian N55 Elopura, Jeffery Chung turut serta semasa laporan polis tersebut dibuat.
Michel berkata, terdapat lima perkara utama yang dibangkitkan dalam laporan itu, antaranya video yang didakwa menghina kaum khususnya komuniti Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR), penghinaan terhadap agama Kristian termasuk paparan salib yang diperlakukan secara tidak senonoh, serta imej berkaitan Batu Sumpah yang dianggap tidak menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, Michel turut mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya lima akaun TikTok yang memuat naik video terbabit menggunakan nama hampir sama iaitu parti.warisan dan parti.warisan5.
“Kami tidak mahu menuduh sesiapa, tetapi tidak menolak kemungkinan akaun ini sengaja diwujudkan oleh pihak tertentu dengan tujuan provokasi politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan di Sabah,” ujarnya.
Katanya, PIS memandang serius perkara tersebut dan menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis mengambil tindakan segera menurunkan video berkenaan selain mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
“Sabah selama ini hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum dan agama.
“Kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak menggunakan politik, NGO atau platform lain untuk memporak-perandakan keharmonian yang telah lama kita bina,” tegasnya. — DEMI SABAH


