Kemaman: Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini, atas tuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya, selasa minggu lepas.
Remaja berusia 15 tahun itu didakwa dengan sengaja membunuh bayi terbabit di sebuah kawasan perumahan Seri Bandi di antara jam 7 hingga 9 pagi.
Tertuduh didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa sabit kesalahan hukuman mati mandatori.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman, kerana prosiding kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nuraine Haziqah Shafii.
Peguam bela tertuduh memohon supaya remaja itu dibenarkan ikat jamin tetapi ditolak oleh majistret sebelum kemudiannya menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Selasa lalu, polis menemukan mayat bayi dipercayai ditikam dengan objek tajam di bahagian dada sejurus dilahirkan di rumah yang didiami remaja berkenaan.
Susulan penemuan itu, remaja perempuan itu ditahan polis untuk siasatan lanjut. Polis juga sedang memburu seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan kerana disyaki merogol gadis terbabit.